Perak Hari Ini

Dadah Dijumpai Dalam BMW, Pemandu Lori Dan Isteri Ditahan

IPOH: Sepasang suami isteri dalam lingkungan umur 30 sehingga 40an telah ditahan sepasukan polis di Desa Rishah, dekat sini pada Khamis minggu lalu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Datuk Goh Boon Keng berkata susulan daripada tangkapan tersebut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat pemeriksaan ke atas suspek dan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Buntong, di sini.

Walau bagaimanapun hasil pemeriksaan tersebut gagal menjumpai sebarang bentuk barang yang menyalahi undang-undang.

Namun hasil tindakan polis dengan membuat pemeriksaan di dalam kereta jenis BNW telah berjaya menemui dadah jenis heroin dan methamphetamine yang masing-masing dianggarkan seberat 6,202 gram dan 549 gram, sementara nilai keseluruhannya berjumlah RM 110,029.

Tambahnya lagi, jumlah heroin tersebut dianggarkan mampu diedarkan kepada 8,200 orang penagih sementara methamphetamine 5,500 penagih.

“Polis juga telah menyita sebuah kereta jenama BMW, satu utas rantai leher, tiga bentuk cincin, tiga bentuk subang telinga dan wang tunai RM2,100. Jumlah nilai harta yang disita ialah RM 26,050.00.

“Suspek pertama iaitu suami telah direman selama enam hari bermula 12 Jun manakala suspek kedua direman selama empat hari juga bermula tarikh sama,” katanya dalam satu sidang media di IPK Perak, di sini hari ini.

Sementara itu Boon Keng berkata hasil siasatan turut mendapati suspek pertama mempunyai beberapa rekod lampau iaitu tujuh kes lampau melibatkan kecurian kenderaan, satu kes memiliki senjata api dan dua kes melibatkan dadah.

Katanya lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu dikesan aktif bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setengah tahun lalu.

“Walau bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada isterinya yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit itu turut terlibat dalam aktiviti sama atau pun tidak,” katanya.

Jelas beliau kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Dalam perkembangan sama, Boon Keng bagi tempoh Januari sehingga 12 Jun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak telah berjaya merampas dadah jenis sintetik dan tradisional berjumlah RM13.7 juta

“Dadah sintetik yang dirampas ialah dadah jenis syabu 94.7 gram bernilai RM 4 juta; ketamin 11.3 gram bernilai RM1.7 juta; pil estasi 185,741 gram bernilai RM 5.6 juta; pil yaba 218 biji bernilai RM2,1800 serta pil erimin 5 840 biji bernilai RM12,600.

“Dadah tradisional yang dirampas pula dadah jenis ganja seberat 3,925.6 gram bernilai Rm49,616.50 serta heroin 39,039.70 gram bernilai RM1.6 juta,” katanya.

Jelasnya bagi tempoh sama seramai 3,990 individu telah ditahan bagi kesalahan melibatkan dadah sementara nilai sitaan harta oleh pihak polis berjumlah RM3.7 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");