Berita Hari Ini

Ditetak Dua Lelaki, Pengawal Keselamatan Sekolah Putus Tangan

KLANG: Seorang pengawal keselamatan putus kedua-dua belah pergelangan tangan selepas ditetak dua lelaki bersenjatakan parang ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di Kapar, pada 4 Jun lalu.

BH Online melaporkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mangsa turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan iaitu di kepala, kaki, bahu dan muka.

“Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang bertugas di pondok keselamatan sekolah berkenaan.

“Mangsa kemudian didatangi dua suspek yang memakai topi keledar, menutup muka dengan sapu tangan serta bersenjatakan parang yang bertindak menyerang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Rakan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya mangsa diserang ekoran salah faham berkaitan lot tanah yang diusahakan untuk menternak lembu membabitkan anggota keluarga mangsa.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan yang juga dipercayai kenalan mangsa diupah sebanyak RM10,000 untuk melakukan serangan berkenaan yang bertujuan untuk memberi amaran kepada mangsa.

Nurulhuda berkata, susulan kejadian itu, Polis Klang Utara menahan empat individu termasuk seorang warga India berusia lingkungan 20 hingga 30 an pada 7 Jun lalu, yang disyaki terbabit dengan serangan berkenaan.

“Kita turut merampas beberapa barangan termasuk dua bilah parang dengan panjang 68.5 sentimeter (27 inci) yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki bernama G Seva Shangar, 33 yang beralamat di Taman Mutiara, Kapar untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata tiga daripada empat suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek di reman tujuh hari bermula 7 Jun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");