Perak Hari Ini

Gerbang Malam Kembali, Peniaga Beroperasi Secara Giliran

IPOH: Setelah dua bulan tidak beroperasi, Gerbang Malam yang berada di sepanjang Jalan Dato Tahwil Azar, dekat sini kembali membuka ‘pintunya’ malam tadi bagi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Walaupun keadaan hujan yang bermula sekitar jam 8 malam namun ianya tidak mematahkan semangat lebih daripada 30 peniaga untuk kembali memulakan perniagaan masing-masing.

 

Namun pada masa sama, susulan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan bagi terus mengekang penularan COVID-19.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbanding biasa, kali ini hanya sekitar 60 peniaga yang dibenarkan beroperasi secara giliran pada satu-satu masa.

“Ianya ada penggiliran. Seperti pada malam ini sepatutnya dibenarkan 60 peniaga beroperasi. Namun mungkin disebabkan faktor cuaca, hanya 37 yang berniaga.

“Sistem penggiliran ini akan ditetapkan pada tiap-tiap malam. Dijangka pada malam esok (hari ini) kehadiran akan lebih ramai,” katanya.

Selain itu ujarnya penjarakkan 3 meter dikenakan bagi setiap khemah perniagaan yang beroperasi di Gerbang Malam.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Gerbang Malam di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi serta Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan SOP PKPP yang dijalankan di bazar tumpuan pelancong sejak tahun 2002 itu.

“Saya dapati Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan peniaga di sini amat menitikberatkan SOP yang ditetapkan.

“Saya tadi sebelum masuk ke sini perlu diambil suhu badan, memakai pelitup muka selain perlu berjalan mengikut aliran jalan sehala dalam Gerbang Malam ini yang ditetapkan pihak berkuasa,” jelasnya.

Beliau turut menyeru agar pengunjung sama ada dari dalam dan luar Perak dapat berkunjung ke bazar-bazar di negeri ini selain ia juga dapat membantu merancakkan kembali ekonomi warga tempatan.

Namun katanya orang ramai diminta untuk terus mematuhi SOP dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di kawasan awam seperti mengamalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Terdahulu dalam satu kenyataan MBI memaklumkan waktu operasi perniagaan di Gerbang Malam bermula pada jam 6 petang sehingga 12.00 tengah malam.

Selain itu terdapat beberapa kawalan keselamatan ke Gerbang Malam dibuat antaranya di Jalan Mustapha Al-Bakri, Jalan Theater, Jalan You Tet Sin, Jalan Sultan Iskandar, serta laluan di Medan Selera Jalan Dato Tahwil Azar.

Difahamkan buat masa ini terdapat hampir 130 peniaga Gerbang Malam yang menjalankan perniagaan masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");