Berita Hari Ini

GPS ikrar terus sokong Muhyiddin

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berikrar akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi PBB, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, khabar angin bahawa akan berlaku perubahan dalam kerajaan persekutuan hanyalah “kegilaan untuk merampas kuasa”.

“Bagi GPS, kami teguh bersama Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Alexander kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Wan Junaidi juga berkata pemerintahan Muhyiddin saat ini berjalan dengan baik khusususnya dalam menangani pandemik Covid-19 dan juga usahanya cuba memulihkan semula ekonomi berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ini bukan masa untuk mengganggu kerajaan… Rakyat mungkin tidak suka jika hal seperti itu terjadi.

“Politik harus diketepikan buat masa ini, dan kita harus tumpu cara membendung Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” kata Wan Junaidi kepada Malaysiakini.

Katanya, Muhyiddin seharusnya diberikan peluang untuk terus kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

PBB, walau bagaimanapun, katanya, bersedia menghadapi sebarang perubahan pada pilihan raya akan datang.

Alexander juga berkongsi sentimen yang sama dengan Wan Junaidi. Katanya, GPS ingin melihat “kerajaan yang stabil”.

“Kita lihat kerajaan sekarang berjalan dengan baik dalam menangani krisis Covid-19, ini alasan untuk kita memberi dia (Muhyiddin) sokongan dan mandat demi keselamatan negara,” katanya.

Kedua-dua pemimpin PBB itu juga mengesahkan bahawa ada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB akan diadakan pada jam 3 petang ini di Kuching, tetapi menekankan bahawa ia hanya mesyuarat “biasa”.

Alexander berkata walaupun mesyuarat itu akan membincangkan keadaan politik semasa, dan tidak ada agenda untuk menentukan sama ada parti itu akan menyokong Dr Mahathir Mohamad atau Muhyiddin.

“Kita tidak ada agenda hal itu (memutuskan sokongan kepada Mahathir atau Muhyiddin).

“Saya tidak tahu sama ada kita akan membincangkannya atau tidak,” katanya.

Jelasnya, bukan sesuatu yang luar biasa buat PBB membincangkan senario politik semasa, memandangkan pilihan raya negeri Sarawak bakal diadakan dalam tempoh setahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");