Perak Hari Ini

Guna Penimbang Tak Sah, 12 Peniaga Durian Dikompaun

IPOH- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengenakan tindakan kompaun kepada 12 peniaga durian yang didapati menggunakan alat timbang sukat tidak sah.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pihak KPDNHEP telah membuat pemeriksaan khas terhadap peniaga-peniaga gerai durian di sekitar Negeri Perak pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, peniaga berkenaan telah dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM100 setiap seorang di atas kesalahan yang dilakukan.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 12 kes telah diambil pada hari pertama pelaksanaan PKPP terhadap peniaga gerai Durian di sekitar Perak yang didapati menggunakan atau memiliki alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan, ditandakan dengan cap, diperakui atau disahkan.

“Peniaga-peniaga berkenaan telah dikenakan kompaun serta merta RM100 setiap seorang di atas kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, pihak KPDNHEP tidak mengawal harga bagi Komoditi Durian, namun peniaga wajib mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Peniaga perlu memastikan terdapat penandaan harga pada barangan yang dijual serta memastikan penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan dan masih dalam tempoh sah,” katanya.

Sementara itu katanya, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPP, KPDNHEP Perak telah menerima sebanyak 655 aduan.

“KPDNHEP telah memeriksa 14,318 premis perniagaan serta 121 tindakan kes telah dihasilkan yang melibatkan keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM66,150,” katanya.

Tegas beliau, KPDNHEP Perak juga mengingatkan semua peniaga supaya lebih beretika atau tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua undang-undang di bawah Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");