Berita Hari Ini
Like

Gunting Rambut, Pasar Malam Boleh Beroperasi Mulai 10 Jun

June 6, 2020
456 Views
0 Comments
3 minutes read
Gunting Rambut, Pasar Malam Boleh Beroperasi Mulai 10 Jun

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri-Menteri pagi ini membenarkan perkhidmatan gunting rambut dan pusat kecantikan beroperasi mulai Selasa, 10 Jun ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan perkhidmatan itu perlu melalui prosedur standard operasi (SOP) yang ketat antara pekerja dengan pelanggan.

Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu, perkhidmatan berkenaan melibatkan 74,500 pekerja di seluruh negara dan menyumbangkan kira-kira RM13.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) telah membentangkan SOPnya mengenai perkhidmatan gunting rambut dan mesyuarat bersetuju membenarkan industri itu beroperasi mulai Selasa ini.

“Menerusi SOP ditetapkan, setiap kedai gunting rambut dan pusat kecantikan hanya dibenarkan melakukan perkara asas sahaja seperti gunting rambut, cuci rambut, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut serta cuci dan rawatan muka.

“Bagi pelanggan berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan wajib secara temu janji dan tanpa kehadiran pihak lain ketika proses itu,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pengusaha kedai gunting rambut juga perlu menetapkan masa tertentu untuk warga emas menggunakan perkhidmatan itu, dengan tujuan mengelakkan bercampur dengan orang lain, kerana mereka berisiko tinggi terdedah wabak Covid-19.

Katanya, bagi kanak-kanak, hanya yang berusia 12 tahun ke atas sahaja dibenarkan menggunakan perkhidmatan gunting rambut, dengan syarat mesti memakai pelitup muka dan apron pakai buang.

“SOP bagi tukang gunting pula wajib memakai pelindung muka plastik, apron, sarung tangan dan pelanggan pula mesti memakai apron pakai buang, dan tidak dibenarkan bergilir dengan orang lain.

“Begitu juga perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah, masih menggunapakai SOP yang sama.

“Bagaimanapun, perkhidmatan dari rumah ke rumah ini lebih selamat terutama untuk golongan warga emas, kerana mereka tidak bergaul dengan orang lain,” katanya.

Selain itu, kata Ismail Sabri, mesyuarat pagi ini juga turut mendengar cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai permohonan pembukaan semula pasar terbuka seperti pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jelas beliau, mesyuarat bersetuju sektor itu beroperasi mulai 15 Jun ini dengan SOP yang ketat.

“Waktu operasi bagi pasar pagi dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 11 pagi, manakala pasar malam dari jam 4 petang hingga 10 malam dan bazaria bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

“Jarak sosial antara gerai ke gerai ialah dari 1.5 meter hingga 2 meter dan tapak pasar itu mesti di lokasi terbuka serta berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk.

“Untuk keluar masuk hanya menggunakan satu jalan masuk dan satu jalan keluar sahaja. Orang ramai perlu diperiksa suhu badan di pintu masuk, mencuci tangan dengan cecair sanitizer dan digalakkan memakai topeng muka,” katanya.

Beliau berkata, peniaga tidak dibenarkan membuka atau menyediakan meja makan dan jualan mesti berkonsepkan bawa pulang.

Tegasnya, jika ada peniaga gagal mematuhi SOP itu, kerajaan memberi kuasa penuh kepada DBKL untuk mengambil tindakan menutup gerai tersebut.

“SOP ini juga akan digunapakai di pasar malam, pasar pagi di seluruh negara, yang turut dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat

Comments are closed.