Berita Hari Ini

Hakim benar pembelaan Najib tutup kes esok

HAKIM Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib Razak untuk melanjutkan dan menamatkan sesi penghujahan lisan kes SRC International kepada esok.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memohon penutupan penghujahan lisan diteruskan esok selepas seorang lagi peguam Harvinderjit Singht tidak hadir tengahari tadi untuk memberi jawapan balas kepada hujah pihak pendakwaan.

Nazlan bersetuju membenarkan Harvinderjit membentangkan hujahnya esok, dan Shafee menutup kes pembelaan selepas itu.

Hakim bagaimanapun berkata bicara perlu tamat esok seperti dijanjikan pihak pembelaan: “Sama ada Harvey hadir atau tidak, awak (Shafee) perlu teruskan (tutup kes).”

Selepas penghujahan lisan ditamatkan, Nazlan, 52, graduan Universiti Oxford yang pernah mengetuai bahagian korporat dan perundangan Maybank sebelum menyertai perkhidmatan kehakiman akan menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan penghakimannya.

Ini adalah permohonan kedua pelanjutan penghujahan dibenarkan Nazlan.

Perbicaraan pada mulanya ditetapkan bermula pada Isnin sehingga semalam untuk sesi penghujahan lisan. Perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd yang turut melibatkan Najib dilapangkan hari ini bagi membolehkan bicara kes SRC International diteruskan.

Bicara kes SRC International bermula 3 April tahun lepas dan kini sudah lebih 14 bulan berlangsung.

Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke dalam akaun banknya antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Kes itu adalah perbicaraan jenayah pertama melibatkan bekas seorang perdana menteri negara ini.

Pihak pembelaan bertegas yang Najib mempunyai tanggapan yang dana yang beliau belanjakan untuk aktiviti politik, program tanggungjawab sosial korporat dan perbelanjaan peribadinya berasal dari Arab Saudi.

Peguam Najib juga berhujah yang Low Taek Jho atau Jho Low yang merupakan individu tumpuan skandal 1MDB, adalah dalang transaksi yang memasukkan RM42 juta ke dalam akaun Najib.

Ahli Parlimen Pekan yang akan berusia 67 tahun bulan depan itu juga mempunyai dua lagi perbicaraan kes yang sedang berjalan.

Perbicaraan kes 1MDB melibatkan dana awam berjumlah RM2.282 bilion yang didakwa diterima Najib antara 2011 dan 2014, manakala satu lagi kes dihadapi Najib berkaitan salah guna kuasa kerana meminda laporan audit akhir 1MBD.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");