Membawang Hari Ini

Hans Isaac Pulangkan Semua Gaji Dan Elaun Pengerusi Finas

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac ‘memulangkan’ semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada industri penerbitan filem dan drama.

Hans berkata, wang itu akan disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sejak mula menjadi pengerusi lagi saya pernah cakap tidak mahu apa-apa daripada Finas termasuk gaji dan elaun yang diberikan.

“Jadi, sekarang apabila sudah tidak berada dalam agensi itu, saya akan pulangkan semua kepada industri dengan membantu golongan pekerja belakang tabir seperti jurukamera, ‘runner’, jurusolek dan sesiapa saja yang terbabit.

“Saya tahu ramai daripada mereka yang terjejas apabila penggambaran perlu diberhentikan. Jadi, kalau ada yang memerlukan boleh datang berjumpa saya dan saya juga akan cuba mencari mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Hans mengakui dirinya yang bukan ‘orang politik’ menjadikan dia mangsa keadaan sehingga menjadi sasaran beberapa persatuan yang sentiasa menekan dirinya.

Hans yang juga pelakon berkata, ketelusan dalam bekerja menjadikan dirinya kurang disenangi segelintir pihak.

“Saya tidak ada agenda politik sepanjang dalam agensi itu. Saya tak pandai bermain ‘game’ politik. Saya kalau bekerja memang akan tegas dan telus. Jadi, apa yang berlaku saya anggap saya mangsa keadaan. Dari dulu lagi saya selalu cakap, industri kreatif tak boleh babitkan politik. Kalau ada, ia memang takkan berjaya. Perkara ini sudah lama berlaku.

“Jadi, apabila saya ditamatkan kontrak, sedikit pun tak terasa hati. Malah, saya sudah jangka. Tapi tidak mengapa, sebab saya dan pasukan sebelum ini sudah buat yang terbaik.

“Seperkara saya nak cakap, inilah masalah yang berlaku di Finas. Kalau tukar kerajaan, pimpinan dalam agensi ini pun ditukar. Sampai bila pun masalah tak selesai dan pembaharuan sukar dicapai. Malah, ia kena mula dari awal semula. Sekurang-kurangnya habiskan kontrak jawatan itu dulu,” katanya.

Hans yang dilantik menjadi Pengerusi Finas pada 8 April tahun lalu ditamatkan kontrak daripada jawatan itu pada 23 Mei lalu.

Tempat Hans digantikan dengan Zakaria Abd Hamid yang juga aktivis masyarakat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");