Berita Hari Ini

Hati-hati pihak tawar visa urus sendiri tunai haji

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan haji menggunakan visa diurus sendiri.

Ini kerana, penghantaran jemaah Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini telah ditangguhkan oleh lerajaan.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan hari ini, berkata penangguhan itu membabitkan semua bakal haji, termasuk yang bercadang menggunakan visa diuruskan sendiri atau visa furada.

“Untuk musim haji 1441 Hijrah bersamaan 2020, TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja.

“Sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya, iaitu TH Travel & Services (THTS).

“Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta,” kata TH.

Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac lalu mengenai penangguhan komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Maklum balas yang diterima daripada PJH, mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan, manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan,” kata TH lagi.

Merujuk dakwaan bahawa 51 agensi pengelola haji swasta mengalami kerugian besar akibat keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, TH berkata, kerajaan mengawal perjalanan ke luar negara bagi semua warganegara ekoran COVID-19 yang melanda dunia.

“Wabak ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan, bukan hanya kepada mereka yang mengendalikan haji dan umrah.

“Kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");