Perak Hari Ini

Ipoh Catat Peningkatan Kes Demam Denggi

IPOH: Bandaraya Ipoh mencatatkan 888 kes positif demam denggi bagi tempoh Januari sehingga 13 Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata ia menunjukkan trend peningkatan yang mana pada tahun lalu bandar raya itu mencatatkan 691 kes demam denggi.

Katanya pada tahun lalu tiada sebarang kes kematian melibatkan demam denggi dicatatkan di sini namun terdapat satu kes kematian direkodkan bagi tempoh sehingga 15 Jun ini.

Justeru katanya kerajaan negeri mengambil langkah serius bagi menurunkan trend kes wabak tersebut.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membuat pemeriksaan dan pemantauan jentik-jentik bagi pencegahan wabak denggi.

“Setakat ini antara lokasinya adalah 19 lokasi di pasar awam, 24 pusat tumpuan awam seperti taman rekreasi, stesen pengangkutan awam serta kawasan tumpuan pelancong.

“Selain itu MBI turut menjalankan aktiviti sama 22 lokasi di kompleks pasar raya dan enam kawasan perkuburan di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketik ditemui selepas mengadakan lawatan menangani wabak denggi dan Chikungunya di Pasar Awam Kampung Baru Buntong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam.

Dalam pada itu Ahmad Saidi berkata pasar awam tersebut dan sekitarnya merupakan salah satu kawasan titik panas membabitkan penyebaran denggi dan Chikungunya.

Jelasnya sebanyak 10 kes demam denggi dan 18 kes Chikungunya direkodkan di kawasan Buntong.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pada tahun lalu sebanyak 16 kompaun melibatkan nilai RM4,000 dikeluarkan bagi kesalahan membiarkan semak-samun di kawasan masing-masing.

“Sehingga 15 Jun ini, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan MBI bagi kesalahan sama. Ia membabitkan nilai berjumlah RM1,750.

“MBI mengambil pendekatan yang mana kita mulakan dengan konsep pendidikan kepada masyarakat. Namun sekiranya masih berdegil, kita akan mula mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");