Berita Hari Ini

“Jangan Buat Keputusan Tanpa Merujuk Kepada Kerajaan”, Ismail Sabri Tegur Rapid Rail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur tindakan pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd, yang menamatkan peraturan penjarakan sosial dalam tren dan stesen perkhidmatannya,

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Mereka perlu memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan, bukannya tiba-tiba umum untuk tidak buat penjarakan sosial.

“Kita faham masalah mereka apabila penjarakan sosial dilaksanakan, akan berlaku pengurangan penumpang. Namun, ini bukan hanya membabitkan perkhidmatan MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan) dan bas tetapi juga pesawat dengan pengurangan penumpang sehingga 66 peratus.

“Jangan buat keputusan sendiri walaupun kurang penumpang dan kini alami kerugian. Jangan buat keputusan tanpa merujuk kepada kerajaan, tindakan itu salah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Rapid Rail memaklumkan penamatan peraturan penjarakan sosial dalam tren dan stesen bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran, dilaporkan berkata, langkah itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan berkaitan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, Rapid Rail dalam kenyataan terbaharunya petang ini, menyatakan akur dengan arahan kerajaan untuk meneruskan dasar penjarakan sosial di semua tren dan stesen perkhidmatan rel kendaliannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");