Berita Hari Ini

‘Jho Low Masih Diburu’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berputus asa mengesan dan memburu ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah, usaha mengesan Jho Low masih dilakukan untuk membawanya ke muka pengadilan di negara ini.

BH Online melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya giat memburu Jho Low tahun lalu, tetapi gagal mencapai sasaran ditetapkan.

“Memang tahun lalu saya pernah menyatakan untuk berusaha sepenuhnya menahan dan membawa balik Jho Low kembali ke negara ini sebelum akhir tahun.

“Saya akui saya gagal tetapi itu tidak bermaksud usaha memburu dan membawanya pulang terhenti,” katanya dalam satu temu bual khas, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mengetahui lokasi persembunyian Jho Low tetapi halangan daripada pihak tertentu menyukarkan usaha membawanya kembali ke negara ini.

Katanya, laporan sebuah agensi media asing baru-baru ini yang mendakwa Jho Low berada di Kuwait sebenarnya adalah lokasi pada 2016.

“Jika benar-benar berani, Jho Low harus tampilkan diri dan keluar daripada persembunyian,” katanya.

Beliau menegaskan, PDRM tetap komited mengesan Jho Low; bekas pengarah dan Ketua Pengarah Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa individu yang dipercayai bersekongkol mencuri aset milik negara,

Katanya, PDRM tidak akan berhenti selagi mereka yang merompak harta negara tidak berada di belakang jeriji besi.

Abdul Hamid berkata, polis bekerja secara senyap untuk mendapatkan kembali wang yang dicuri dan seterusnya menahan Jho Low.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dirinya ‘boleh dibeli’ supaya berdiam daripada memburu Jho Low.

“Misi utama tugas saya adalah menjaga negara dan rakyat, maka tindakan membawa Jho Low ke muka pengadilan akan terus dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hamid menyatakan komitmen untuk membawa balik Jho Low ke negara ini pada akhir tahun lalu bagi siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PDRM pernah mendedahkan kesulitan dihadapi dalam usaha membawa pulang Jho Low, terutama kurangnya kerjasama negara tertentu yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan itu ketika ini.

Abdul Hamid juga pernah meluahkan rasa kecewa dengan tindakan negara terbabit yang dianggap tidak ikhlas dan menyukarkan tugas PDRM memburu Jho Low, termasuk menghubungi rakan sejawatnya di negara berkenaan.

Jho Low, Nik Faisal, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo Ai Swan dan Geh Choh Heng adalah antara individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini sejak 2015, berhubung siasatan berkaitan SRC International dan 1MDB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");