Berita Hari Ini

‘Jumpa di mahkamah’ – Shafie beritahu Musa

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini menolak tuntutan pendahulunya, Musa Aman supaya Yayasan Sabah membayar ganti rugi fitnah sebanyak RM1 bilion.

Shafie berkata, beliau sedia berdepan Musa di mahkamah selepas mengesahkan yayasan milik kerajaan negeri itu menerima notis tuntutan tersebut.

“Ya, kami telah terima notis tuntutan mereka menyaman kami RM1 bilion. Tetapi tak apa, kita jumpa di mahkamah.

“Ini bagi kepentingan rakyat Sabah dan mereka perlu tahu apakah yang berlaku ke atas kekayaan yang dimiliki oleh Yayasan Sabah,” katanya seperti dilapor FMT ketika ditemui di Semporna.

Semalam Musa mengemukakan surat tuntutan guaman terhadap Shafie dan dua orang pemegang amanah Yayasan Sabah, antaranya menuntut mereka membayar RM1 bilion dibayar kepada badan amal.

Ini selepas sidang media sehari sebelum itu apabila Yayasan Sabah mengumumkan telah memfailkan saman terhadap Musa, bagi mendapatkan RM872 juta wang yang didakwa “hilang” dalam perjanjian balak meragukan.

Untuk rekod selepas kekalahan BN pada PRU14, Musa dikenakan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi pembalakan di negeri Sabah.

Bagaimanapun Musa dibebaskan minggu lepas daripada 46 pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik kesemua pertuduhan.

Kes tersebut tidak dibawa ke perbicaraan.

Yayasan Sabah milik kerajaan negeri ditubuhkan pada 1966 dan memegang konsesi pembalakan paling besar di Sabah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");