Berita Hari Ini

Kluster pangsapuri Cheras mungkin berkaitan kunjungan raya

Punca jangkitan kluster baru pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur masih dalam siasatan.

Namun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, besar kemungkinan penularan Covid-19 di situ berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Memperincikan kluster itu, beliau berkata, kes pertama dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun melalui penyiasatan yang dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan (tabligh) di Seri Petaling.

“Sehingga kini terdapat enam kes bagi kluster ini iaitu tiga kes merupakan penghuni pangsapuri tersebut dan tiga di luar kawasan pangsapuri,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, siasatan dan saringan kontak rapat bagi keseluruhan enam kes di situ telah dijalankan.

Daripada enam kes itu, tiga kes melibatkan penghuni pangsapuri dan tiga lagi di luar kawasan pangsapuri.

“Mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif,” katanya.

“Kes-kes positif kluster ini adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.”

Setakat ini seramai 120 orang telah dikenal pasti dan disaring.

Selain enam kes positif, 76 kes adalah negatif dan 38 lagi masih menunggu keputusan.

Semalam, KKM menerusi Twitter memaklumkan penemuan kluster baru itu.

Dr Noor Hisham berkata semua pesakit itu dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif dan semua kes positif kluster itu merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

Menurutnya, selain tindakan pengesanan kes secara aktif, beberapa langkah kawalan penularan wabak di pangsapuri itu turut giat dijalankan.

Ini seperti pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyahkuman dan nyahcemar serta hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan Covid-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");