Membawang Hari Ini

Langgar perjanjian: Saman syarikat Maydan terhadap Fazura ditolak

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak saman difailkan pemilik syarikat Maydan Trading terhadap Fazura dan Universal Music Sdn Bhd, atas dakwaan melanggar perjanjian syarikat, selepas pelakon yang juga penyanyi itu melancarkan produk kesihatan dan kecantikan ‘Trudolly’ dalam tempoh perjanjian.

Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas mendapati tidak terdapat sebarang pelanggaran kontrak antara plaintif, Narhamdan Abd Malek dengan Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Shariffudin, selaku defendan pertama.

“Kontrak dalam kes ini hanya membabitkan plaintif dengan defendan kedua, iaitu Universal Music. Tindakan plaintif menyatakan terdapat pelanggaran kontrak adalah tidak tepat, kerana kontrak berkenaan telah ditamatkan oleh plaintif sendiri,” katanya.

Mohd Firuz berkata, keterangan daripada saksi plaintif jelas menunjukkan bahawa Nur Fazura, yang dilantik sebagai duta produk ‘Q Tab’ telah menjalankan tugasnya, untuk mempromosikan produk berkenaan.

“Keterangan daripada seorang lagi saksi plaintif, yang merupakan pegawai di bahagian farmasikal turut menyatakan bahawa produk yang dipasarkan oleh plaintif menyalahi undang-undang, kerana mengandungi bahan terlarang. Ini bermakna plaintif telah memasarkan produk yang salah dan mengakibatkan kontrak itu juga adalah tidak sah.

“Oleh kerana sesuatu kontrak itu ditakrifkan tidak sah, maka kerugian yang dialami oleh plaintif dikira sebagai belanja hangus. Oleh itu, tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya yang membuat keputusan selepas mendengar keterangan daripada tiga saksi plaintif dan empat saksi defendan, termasuk Nur Fazura.

Hakim Mohd Firuz turut memerintahkan plaintif membayar kos masing-masing RM40,000 untuk setiap defendan.

Narhamdan Abd Malek, yang memiliki dan menjual produk kesihatan iaitu ‘candy’ yang boleh dikunyah dikenali sebagai ‘Q Tab’ untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku, memfailkan saman pada 16 Disember 2017 dengan menamakan Nur Fazura, 37, dan Universal Music, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music, supaya Nur Fazura memasarkan produk ‘Q Tab’ dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu, selain Nur Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.

Plantif mendakwa selepas beliau menandatangani perjanjian pada 10 Ogos 2017 untuk perkhidmatan defendan pertama (Nur Fazura), plaintif telah membayar RM100,000 kepada defendan kedua (Universal Music) dan wang RM56,000 turut dibayar pada 24 Ogos tahun sama, mengikut syarat perjanjian dipersetujui.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa pada akhir September 2017, Nur Fazura telah melancar dan memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu ‘Trudolly’ ‘TruBeauty’ oleh Fazura, sepanjang tempoh perjanjian berkenaan.

Dakwa Narhamdan, akibat pelanggaran yang berlaku dalam pemasaran Trudolly oleh Fazura dan Universal Music dalam persaingan dengan produk ‘Q Tab’, plaintif mengalami kerugian apabila pemasaran produknya telah diabaikan dan memihak kepada Trudolly, selain mendakwa penjualan produk ‘Q Tab’ telah berkurangan.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut pembayaran balik RM156,000 daripada kedua-dua defendan, ganti rugi RM141,755.61 kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Jan 2018 mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan plaintif, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan plaintif.

Sementara itu, Nur Fazura, yang ditemani suaminya Fattah Amin atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, menzahirkan rasa kesyukuran terhadap keputusan mahkamah hari ini yang memihak kepadanya.

“Kes ini berlanjutan lebih dua tahun dan dalam tempoh itu saya dituduh melanggar perjanjian kontrak. Ternyata mahkamah telah membuktikan kontrak itu adalah tidak sah dan dinyatakan juga bahawa produk itu adalah haram dan apa yang didakwa oleh plaintif adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

“Saya bersyukur semuanya telah selesai dan keadilan akhirnya memihak kepada saya. Saya akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Produk ‘Trudolly’ juga tiada kena mengena dengan kes ini,” katanya yang turut menganggap keputusan hari ini adalah rezeki anak yang bakal dilahirkan pada Oktober ini.

Dalam prosiding hari ini, Nur Fazura diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Universal Music diwakili peguam Wilson Lim serta Narhamdan pula diwakili peguam Dzaki Ezwan Baharin. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");