Panasnya Hari Ini

Laporan Audit 1MDB: Najib Mahu Gugurkan Sri Ram Sebagai Ketua Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media bahawa permohonan itu disokong dua afidavit, yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Kami telah menyerahkan permohonan itu di Jabatan Peguam Negara (AGC) pada tengah hari ini. Isnin depan ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan tetapi kami akan menggesa mahkamah agar mendengar permohonan kami terlebih dahulu kerana ia akan mempengaruhi integriti proses perbicaraan,” kata Muhammad Shafee.

Permohonan itu difailkan selepas Mohamed Apandi pada 10 Jun, memuat naik di Facebook mendakwa Sri Ram telah bertemu dengannya pada Januari 2018 dan mendakwa Sri Ram telah menyampaikan mesej agar Najib ditangkap.

Najib, 67, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Setakat ini tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");