Berita Hari Ini

Malaysia perlu timbang travel bubble untuk perniagaan antarabangsa

Penganjur acara perdagangan industri, Informa Markets, menggesa kerajaan menimbang membuka semula sempadan bagi pengembara perniagaan dari negara yang telah berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan Asean Informa Markets, M Gandhi, berkata pelaksanaan travel bubble bagi pengembara perniagaan antarabangsa akan membantu merangsang ekonomi Malaysia.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia turun kepada 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 4.5 peratus dalam suku yang sama tahun lepas apabila pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara terjejas oleh Covid-19 seterusnya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Lebih awal kita boleh bawa kembali perdagangan antarabangsa ke Malaysia, lebih pantas kita akan pulih,” katanya kepada Bernama.

Istilah travel bubble atau travel corridor merujuk kepada perjanjian antara negara yang berjaya membendung Covid-19 membuka sempadan antara satu sama lain bagi membolehkan pergerakan bebas dalam zon hijau tersebut.

Buat permulaan, katanya, travel bubble perlu dihadkan kepada Korea Selatan, Taiwan, Jepun, China, Thailand, Singapura, Australia, Vietnam dan Hong Kong yang mempunyai bilangan kes baru harian yang hampir sama.

Pada 2019, Malaysia menerima kira-kira 930,000 pengembara perniagaan dengan 60 hingga 70 peratus daripadanya adalah dari negara berkenaan dan membawa perdagangan bernilai kira-kira RM1.2 trilion.

Sumbang secara langsung

Travel bubble ini boleh menjana ekonomi perdagangan secara perlahan-lahan, tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi.

“Pengembara perniagaan perlu memastikan mereka mengambil ujian (Covid-19) sebelum memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata kerajaan menerima cadangan bagi pelaksanaan travel bubble dengan negara-negara jiran tetapi belum memuktamadkan keputusannya.

Ini kerana, kata Mustapa, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat.

Menurut Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS), industri acara perniagaan Malaysia berkembang kukuh sejak beberapa tahun lepas.

Pada 2019, sejumlah 1,025 acara perniagaan dianjurkan, yang menarik lebih 540,000 pengembara perniagaan antarabangsa ke Malaysia.

Acara-acara ini menyumbang perbelanjaan langsung bernilai RM3.9 bilion kepada negara dan menjana impak ekonomi sebanyak RM9.2 bilion.

Kerajaan pada dasarnya telah meluluskan SOP bagi subsektor pelancongan untuk menyambung semula perniagaan.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) serta festival perdagangan dan pelancongan dalam negara.

Gandhi berkata sebagai penganjur acara, Informa Markets bersedia untuk bermula dengan menumpukan hanya kepada pembeli dan penjual domestik sahaja.

“Bagaimanapun, seperti yang kami katakan, pembeli domestik mempunyai sumber yang terhad untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, oleh itu, kita perlukan pembeli antarabangsa untuk datang agar ekonomi kita boleh pulih dengan pantas,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");