IPOH- Kanak-kanak antara golongan yang berisiko terhadap jangkitan wabak koronavirus (Covid-19), namun masih terdapat segelintir ibu bapa membawa anak kecil ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan harian.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menyarankan supaya orang ramai tidak membawa ahli keluarga mereka daripada golongan berisiko terutama anak-anak yang berusia kurang 12 tahun ke tempat awam seperti pasar raya atau pusat beli-belah.
Wartawan Perak Today hari ini mendapatkan pandangan orang awam tentang tindakan berkenaan dan ke satu pasar raya untuk melihat gelagat ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk berbelanja.
Menurut seorang peniaga, Faizul Azwan Masrin, 34, beliau berkata, ibu bapa tidak seharusnya membawa anak-anak ke pasar raya kerana negara kita masih dalam keadaan berjaga-jaga malahan kawasan berkenaan merupakan kawasan yang sesak.
“Salah satu sebab tidak perlu ke pasar raya adalah kerana kawasan yang sesak, kemudian berkenaan dengan keselamatan di mana budak-budak ni taktahu apa, mereka pegang itu ini, jadi lebih baik duduk di rumah.
“Keselamatan adalah lebih utama, macam solat kat masjid pun perlu berjarak, jadi kita masih dalam tempoh berjaga-jaga lebih baik anak-anak tinggal dirumah sahaja, tetapi kalau setakat hendak berjalan-jalan boleh sahaja ke taman,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyarankan supaya ibu bapa tinggalkan anak-anak sekejap di rumah namun jika mereka tetap membawa anak-anak adalah lebih baik tinggalkan sekejap dengan ahli keluarga yang lain.
“Boleh bawa jalan-jalan tetapi tinggal kejap dalam kereta dengan abang atau kakak, bukannya lama kan, sementara sahaja, ibubapa perlu bersabar,” katanya.
Begitu juga kata penghantar makanan, Amirul Akmal Muhd Hashim, 20, ibu bapa seharusnya peka dan tidak membawa kanak-kanak kerana mereka mudah dijangkiti virus, ditambah pula kes belum berakhir dan mungkin akan terjadi lagi walaupun banyak kawasan sudah berada pada zon hijau.
“Pada pendapat saya, setengah kawasan ada yang dah hijau dan ada yang masih merah, kalau kawasan hijau ibu bapa masih boleh ke pasar raya tetapi perlu ikut SOP kerana sekarang ni kita masih tidak tahu keadaan akan datang macam mana sebab kes belum berakhir dan mungkin akan terjadi lagi dan lebih baik kekalkan jarak dan ikut SOP.
“Kalau boleh jangan bawa anak-anak kerana kanak-kanak mudah dijangkiti dan kita tak tahu bagaimana kesihatan orang di sekeliling, dari mana kerana sekarang sudah boleh merentas negeri dan ada yang dari negeri kawasan luar,” katanya.
Sementara itu seorang pelajar, Balqis Athirah Ahmad Sufian, 19 berkata, jika ibu bapa membawa anak ke pasar raya, mereka perlu menjaga anak mereka supaya tidak menyentuh kawasan lain dan sentiasa pegang tangan anak-anak, jadi mereka tidak merayau-rayau.
“Nasihat kepada ibubapa adalah sentiasa pegang tangan anak-anak, jadi mereka tidak merayau-rayau atau pegang kawasan yang ada disekeliing dan pada masa yang sama anak-anak perlu memakai pelitup hidung dan mulut untuk keselamatan dan sediakan hand senitizer.
“Namun mereka tidak sepatutnya membawa anak-anak ke pasaraya kerana mereka sendiri tahu apa akibatnya kerana ia akan menambahkan lagi penularan wabak Covid-19,” katanya
Bagaimanapun katanya lagi, tindakan iba bapa membawa anak-anak adalah mengikut kesesuaian keadaan, jika ibubapa sendiri tidak mampu menyerahkan anak-anak kepada pengasuh mereka terpaksa juga bawa ke psar raya dan ia bergantung kepada situasi.
“Mungkin ibubapa sendiri tidak tahu di mana mereka perlu meletakkan anak-anak meraka, contohnya mereka yang baru berkahwin, mereka taktahu nak tempatkan di rumah asuhan kanak-kanak dan pada masa yang sama mereka tidak percaya kepada orang lain untuk menjaga anak mereka untuk jaga.
Tegas beliau, salah satu sebab tidak perlu ke pasar raya adalah kerana kawasan yang sesak, kemudian berkenaan dengan keselamatan di mana anak-anak tidak tahu apa-apa dan mereka pegang itu ini, jadi lebih baik duduk di rumah.