Perak Hari Ini

Mekanik Sorok 32 Paket Heroin Bernilai RM16,000 Bawah Sofa Ditahan

IPOH: Seorang mekanik telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tersusun Sengat, dekat sini, pada Selasa.

Katanya dalam serbuan tersebut polis terpaksa memecah masuk melalui pintu di belakang rumah selepas suspek enggan membuka pintu.

Jelasnya hasil pemeriksaan polis berjaya menjumpai satu plastik hitam yang mengandungi 32 paket dadah jenis heroin yang disembunyikan di bawah sofa di ruang tamu rumah suspek berkenaan.

Katanya keseluruhan berat dadah tersebut dianggarkan 1,850 gram dan anggaran nilai dadah berjumlah RM16,000.

“Antara barangan yang dirampas ialah empat paket plastik kosong lut sinar, satu gunting, satu penimbang digital serta satu paket plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi paket plastik lut sinar kosong.

“Selain itu, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan nilai harga RM5,000 disita pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu beliau berkata ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek adalah positif methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah seorang penagih dan tinggal seorang diri. Suspek terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah semenjak 2016. Suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

“Hasil siasatan awal juga mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti pembungkusan dan pengagihan dadah,” jelasnya dengan menambah suspek direman selama enam hari bermula 17 Jun.

Katanya lagi kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan suspek berdepan dengan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");