Berita Hari Ini

Muhyiddin: Perdana Menteri Yang Sangat Kurang Berpolitik

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sebagai Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sangat kurang berpolitik dan jarang memberikan kenyataan politik.

Sebaliknya, beliau menumpukan lebih banyak usaha dan masa dalam menangani pandemik COVID-19 dan mendepani cabaran ekonomi negara dalam tempoh itu.

Dari segi politik, tindakannya kurang berpolitik sejak dilantik mengetuai pentadbiran negara pada 1 Mac sehingga hari ke-100 pada Selasa, dikatakan menyumbang kepada kestabilan negara walaupun terdapat beberapa drama politik dalam tempoh itu.

Jika disingkap kembali, Muhyiddin dalam satu wawancara dengan RTM dan Astro AWANI pada 25 April lepas, menegaskan rakyat kini sudah muak untuk mendengar cerita-cerita politik.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod melihat Muhyiddin menyerlahkan wataknya yang kurang bercakap tapi cekap bekerja dalam menyampaikan mesej yang cepat dan tepat, kena pada isu semasa dan bukannya cakap kosong atau berjanji politik semata-mata.

Walaupun menjadi Presiden Bersatu, beliau jarang sekali membidas pihak pembangkang walaupun dirinya dan kerajaannya teruk dikritik, katanya.

“Malah beliau berjiwa besar dan masih cuba untuk berdamai dan bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun gagal. Ramai menganggap bahawa ini adalah gerak taktikal dalam politik namun itulah karakter Muhyiddin dan cara beliau sering menenangkan suasana yang panas,” katanya.

Geostrategis Azmi Hassan berkata negara memerlukan pemimpin yang luar biasa untuk berdepan dengan cabaran luar biasa.

“Ciri sebegini amat penting untuk dimiliki oleh seorang Perdana Menteri bukan sahaja dalam keadaan menghadapi pandemik tetapi juga senario kemelut politik tanpa ada kesudahannya termasuk cabaran usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin,” katanya.

Kalau disulami laman sosial media Muhyiddin pula, umum pasti akan melihat taburan gambar, poster dan video berkaitan isu semasa dan antarabangsa yang dikupasnya, dengan jarang sekali beiau menyentuh isu politik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn, Dr Mohd Akbal Abdullah berkata hal ini kerana, sepak terajang dalam dunia politik seakan telah sebati dalam darah Muhyiddin baik daripada kawan mahupun lawan sekali gus menjadi tonik untuk kekal fokus mentadbir negara dan bukannya bermain politik semata-mata.

“Kemahiran unggul beliau ialah cepat menyedari kebaikan kawan dan kelebihan lawan. Dengan keadaan begini beliau akan dihargai kawan dan disanjungi lawan,” katanya.

Seorang pemerhati politik, Ayatullah Helme Mohd Hanafi, yang juga Pengarang Akhbar Wilayahku berkata Muhyiddin cuba melakukan yang terbaik dalam segala kepayahan dan kekangan kerana politik yang tidak stabil.

“Sungguh pun beliau jarang keluar televisyen, tetapi aura beliau terasa tiap kali muncul, beliau membawa figura bapa-bapa, selalu ingin yang terbaik untuk keluarga walaupun ada masa ‘anak-anak’ tidak faham,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");