Panasnya Hari Ini

Najib Bidas Analogi ’11 Ekor Ayam’ Mahathir

Bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak membidas Dr Mahathir Mohamad kerana mempertikai keputusan membebaskan Riza Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram.

Najib merujuk wawancara Malaysiakini baru-baru ini di mana Mahathir menyebut mengenai kes Riza – tanpa menamakannya – sebagai contoh bagaimana kedaulatan undang-undang dicabuli.

“Sebab sekarang ini kita lihat curi 11 ekor ayam bagi balik seekor. Oh okay, 10 ekor boleh simpan.

“Ini undang-undang baru, jadi apa kita boleh buat,” soal Mahathir.

Berdasarkan sebahagian syarat penyelesaian agar dilepaskan daripada tuduhan itu, Riza yang merupakan seorang penerbit filem perlu memulangkan aset bernilai AS$108 juta.

Menurut Najib, yang merupakan bapa tiri Riza, analogi Mahathir itu tidak betul.

“Ini bukan kes curi 11 ekor ayam, pulangkan seekor seperti didakwa PM7.

“Ini kes menerima 11 ekor ayam, pulangkan 13 ekor,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Menurut Najib, Riza perlu membayar semula AS$40 juta lebih daripada AS$248 juta yang diterima sebagai dana pelaburan untuk projek-projek filem anak tirinya itu.

Perinciannya, menurut Najib, adalah seperti berikut:

– AS$107 juta sebagai penyelesaian saman sivil di Malaysia

– AS$60 juta sebagai penyelesaian saman sivil di USA melalui DOJ.

– AS$120 juta yang sudahpun dibayar balik kepada penghantar SEBELUM sebarang saman sivil difailkan ke atas RIza.

Walaupun penyelesaian Riza di Amerika dan Malaysia didedahkan kepada umum, tidak dapat dipastikan siapa yang dimaksudkan Najib sebagai “penghantar”.

Riza merupakan pengasas bersama Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang diperbadankan di AS, yang menerbitkan filem “The Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber Too” yang memenangi Anugerah Oscar dan beberapa judul lain.

Red Granite Pictures didakwa menerima wang daripada Good Star Limited (ditubuhkan di Seychelles) dan Aabar Investment PJS Ltd (Britain Virgin Islands).

Secara keseluruhan, syarikat-syarikat tersebut menerima wang daripada 1MDB antara tahun 2009 dan 2012.

Pada masa itu, Najib merupakan perdana menteri, menteri kewangan dan ketua lembaga penasihat 1MDB, dengan perlembagaan syarikat itu secara jelas menentukan kuasanya terhadap semua keputusan pelaburan dan komitmen kewangan.

Walaupun demikian, Najib mengatakan Mahathir sebagai berbohong.

“Riza terima dana sebagai pelaburan siap dengan rekod perjanjian dan rekod penuh transaksi bayaran balik faedah dan pokok pelaburan kerana projek-projek filem dia berjaya.

 “Riza tidak diberi bail-out kerajaan atau kontrak kerajaan seperti anak-anak PM7 atau membeli syarikat dengan syarat lumayan dari kroni-kroni PM7.

“Semua rekod dan bukti Riza ada. Sebab itu, Tommy Thomas dan Gopal Sri Ram juga mempersetujui untuk menyelesaikan kes,” katanya.

Untuk rekod, Thomas sebelum ini menegaskan beliau tidak pernah bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada Riza Aziz dan tidak bersetuju dengan kelulusan perjanjian tersebut.

Sementara itu, Najib berkata tidak seperti kes Lim Guan Eng, Riza tidak didakwa di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kes Riza bukan digugur tetapi diselesaikan melalui perjanjian – langsung tak serupa dengan kes Guan Eng yang digugurkan terus walaupun perbicaraan di Mahkamah sudah bermula lebih sebulan dengan lebih 10 saksi memberi kenyataan.

“PM7 nak hasut Rakyat pun perlu jujur. Jangan asyik tipu rakyat dan memfitnah sahaja,” katanya.

Lim dibebaskan daripada tuduhan rasuah yang melibatkan pemerolehan sebuah banglo dari ahli perniagaan Phang Li Koon di bawah nilai pasaran pada tahun 2015.

Phang dituduh melakukan perbuatan itu sebagai suapan terhadap Lim bagi penukaran status sebidang tanah, yang dimiliki oleh sebuah syarikat di mana dia mempunyai kepentingan.

Sebelum dibebaskan, mahkamah mendengar keterangan daripada 25 saksi.

Pada Sept 2018, ketua bahagian perbicaraan dan rayuan Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria menjelaskan beliau memutuskan untuk menarik balik kes terhadap Lim berdasarkan bukti sedia ada dan berlandaskan undang-undang.

Walaupun Lim dibebaskan daripada tuduhan itu, Najib berulang kali menyebut kes berkenaan sebagai contoh bagaimana kerajaan Pakatan Harapan ketika itu tidak menghormati kedaulatan undang- undang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");