Perak Hari Ini

‘Pagi Kami Bersih Tempat Sampah Haram, Petang Sudah Ada Balik’

IPOH: ‘Bandar kita, tanggungjawab bersama,’ itu adalah ungkapan yang boleh dijadikan pengajaran buat semua pihak di bandar raya ini apabila menyentuh aspek penjagaan kebersihan.

Bagi salah seorang petugas pembersihan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Salman Najmud, isu longgokan sampah-sampah haram di sini seolah-olah tiada kesudahan.

Dia tidak menolak kemungkinan perkara tersebut berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang menganggap soal kebersihan di bandar raya ini hanya terletak pada tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.

“Ada kalanya apabila pada waktu pagi kita selesai jalankan kerja-kerja pembersihan di tempat sampah haram, pada waktu petang ia kembali menjadi seperti biasa.

“Sebab itu kita minta kepada masyarakat agar memberi kerjasama dengan tidak meletakkan sampah merata-rata,” katanya ketika ditemui PerakToday, di sini.

Justeru Salman berharap agar masyarakat di bandar raya ini dapat bersama-sama menjaga kebersihan termasuk di kawasan kediaman masing-masing dengan baik.

Ujarnya sekiranya masalah longgokan sampah haram dapat dikurangkan, dengan kerjasama masyarakat setempat, kerja-kerja pembersihan di seluruh Bandar Raya Ipoh akan menjadi lebih efisien.

“Apabila kita saling membantu, aturan kerja pembersihan ini akan lebih mudah dan lebih kemas,” katanya.

Pada Rabu, Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata dalam tempoh Januari sehingga 31 Mei terdapat 1672 kawasan sampah haram yang telah dikenalpasti.

Mengulas lanjut, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan MBI, S Manisegaran, berkata daripada angka tersebut sebanyak 74 titik panas sampah haram yang berada di sekitar bandar raya ini.

Katanya kerja-kerja pembersihan di satu-satu kawasan sampah haram memakan masa sekitar dua ke tiga jam, bergantung kepada saiz dan jenis sampah yang dibuang.

“Saya berharap kita dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang saling bantu membantu. Saya meminta agar penduduk setempat dapat menempatkan sampah yang hendak dibuang dengan elok.

“Kalau boleh sediakan dan letakkan dalam tong sampah. Dengan cara ini juga kita dapat menyelesaikan masalah penyakit berjangkit seperti denggi dan chikungunya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");