Perak Hari Ini

Pemilik Tanah Terbiar Di Ipoh Bakal Berdepan Tindakan Kompaun

IPOH: Semua pemilik yang sengaja meninggalkan dan membiarkan tanah mereka tanpa diuruskan dengan baik sehingga memudaratkan penduduk setempat seperti menyebabkan penularan wabak Chikungunya, bakal berdepan tindakan tegas seperti dikenakan kompaun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata dianggarkan 40,000 lot tanah di seluruh bandar raya ini dikenal pasti sebagai tanah yang sengaja dibiarkan pemilik.

“Masalah yang susah untuk diatasi adalah apabila melibatkan tanah-tanah milik persendirian. Jadi semalam kita buat keputusan akan mengeluarkan kompaun kepada mereka ini.

“Yang dikenal pasti bukan sedikit, sebaliknya lebih kurang 40,000 lot tanah. Jadi, masalah ini mengambil sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini, hari ini.

Namun katanya tindakan mengeluarkan kompaun tersebut adalah tindakan terakhir selepas daripada tindakan pemantauan dan teguran dibuat kepada pemilik tanah.

Justeru beliau menyeru agar semua pemilik dapat memastikan kebersihan di tanah-tanah milik mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.

Minggu lalu media melaporkan jumlah kes wabak Chikungunya di negeri ini meningkat kepada lebih 30 kali ganda apabila merekodkan 454 kes sejak awal tahun sehingga 23 Mei lalu berbanding hanya 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata daripada angka tersebut daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya.

Kata beliau antara punca kepada peningkatan kes tersebut ialah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti di kawasan lot tanah terbiar dan premis yang tidak berpenghuni.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh berkata tahap kebersihan di tanah-tanah milik MBI sentiasa diuruskan dengan baik selain dipantau pada semasa ke semasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");