Berita Hari Ini

Pengoperasian taman tema air harus utamakan penjarakan sosial

Pengoperasian taman tema air yang dibenarkan kerajaan harus menekankan aspek penjarakan sosial, selain pengusaha perlu meningkatkan lagi kekerapan kebersihan kolam dan air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini adalah jika berlaku kesesakan pengunjung dan pengabaikan faktor kebersihan.

Bagi mengelakkan kesesakan, beliau berkata, sebanyak 54 taman tema air perlu beroperasi dalam kebiasaan baharu dan tidak seperti pada waktu lazimnya.

“Kita nasihatkan semua orang ataupun (pengusaha) taman tema yang terlibat mengambil langkah-langkah pencegahan dan juga menjaga kebersihan. Apa yang penting untuk kita adalah amalkan penjarakan sosial.

“Kebimbangan KKM ialah kalau ada perhimpunan ataupun kesesakan apabila kita membuka taman tema ini. Tetapi sekarang ini yang ditetapkan kita hadkan pengunjung di taman tema ini supaya kita tidak membuka 100 peratus.

“Tetapi kita harapkan setiap individu yang pergi ke taman tema untuk pastikan mereka mengamalkan penjarakan sosial,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai kebersihan kolam air, Dr Noor Hisham menasihati pengusaha taman tema air supaya membersihkan kolam dan air dengan lebih kerap.

Mengenai tahap kebersihan air dalam kolam di taman tema berkenaan, Dr Noor Hisham menjelaskan, mereka menggunakan klorin dan itu bukan perkara yang baharu.

“Kita juga nasihatkan untuk pertingkatkan lagi aktiviti pembersihan di kolam tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");