Berita Hari Ini

Persiapan buka semula sekolah cukup – Radzi

Banyak pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa dilihat sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah esok serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan mengenainya dipatuhi apabila sekolah dibuka.

Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Kepada ibu bapa, jika anak tidak sihat jangan hantar ke sekolah esok dan hari-hari berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelajar kembali ke asrama di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Seramai 150 pelajar lelaki Tingkatan Lima mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan kelas esok.

Dalam tinjauan itu, Radzi melihat susun atur katil dan lokar di asrama selain memeriksa SOP di dewan makan yang hanya tiga pelajar dibenarkan makan semeja.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");