Berita Hari Ini

Pindaan Akta 333: ‘Geng Basikal Lajak’, ‘Mat Rempit’ Tidak Terkecuali

KUALA LUMPUR: Geng basikal lajak dan mat rempit tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan tegas menerusi pindaan yang dicadangkan bagi Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pindaan akta berkenaan berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya.

BH Online melaporkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sama ada pengguna jalan raya itu di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau sesiapa saja termasuk geng basikal lajak atau mat rempit, ia tetap terangkum di dalam cadangan pindaan akta berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan orang ramai yang mempersoalkan tiada tindakan diambil terhadap geng basikal lajak dan mat rempit ketika kerajaan berusaha meminda undang-undang berkaitan minuman keras.

“Isu pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk adalah topik hangat yang dibincangkan sejak kebelakangan ini dan saya terus meneliti dan memantau secara serius mengenai perkara ini.

“Saya terbuka dan mengalu-alukan sebarang pandangan daripada semua pihak,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Mengulas pandangan yang diterima kementerian itu mengenai isu pemandu mabuk dijadikan alasan untuk menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras, Ka Siong berkata isu pemandu yang dipengaruhi alkohol atau dadah tidak ada kaitan langsung dengan orang Islam ataupun bukan Islam.

Sebaliknya beliau berkata, ia lebih menjurus kepada soal keselamatan jalan raya.

“Cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan ini adalah bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang memandu secara merbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan ianya tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

“Sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum. Maka itu, dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya adalah langkah terbaik dalam usaha kita mencegah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya berharap kita semua tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik supaya bersama-sama menyokong pindaan Akta 333 ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");