Perak Hari Ini

PKP: Bakal Pengantin Di Perak Tidak Perlu Ikuti Kursus Pra Perkahwinan

IPOH: Mana-mana pasangan di Perak yang bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak perlu mengikuti kursus pra perkahwinan.

Sebaliknya mereka yang belum mengikuti kursus tersebut dalam negeri ini hanya perlu mengikuti Tatacara Temuduga Khas (TTK) yang akan mula berkuatkuasa esok sehingga tempoh PKP tamat kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata urusan permohonan perkara tersebut akan diuruskan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), sebelum semuanya dinikahkan di tempat sama.

Mohd Akmal Kamarudin

Katanya pasangan yang ditemu duga juga tidak dikenakan sebarang yuran namun kadar bayaran RM5 dikenakan kepada pemohon bagi tujuan pengeluaran Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam.

Jelasnya lagi pelaksanaan TTK ini terpakai kepada pasangan yang merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini selain tempoh masa bagi setiap urusan temu duga dianggarkan tidak melebihi 30 minit.

Tambah beliau terdapat 10 soalan yang akan ditanya ketika sesi temu duga tersebut yang melibatkan lima skop iaitu skop akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab suami isteri dan prosedur kekeluargaan.

“TTK hanya terbuka kepada pasangan yang tidak pernah mengikuti kursus pra perkahwinan namun akan bernikah dalam tempoh PKP.

“Sebagai contoh satu pasangan akan bernikah pada Disember ini dan misalnya pada masa itu tempoh PKP tamat pada bulan Julai.

“Maknanya temu duga yang disertainya ini terbatal. Harus menyertai kursus pra perkahwinan seperti biasa.

“Namun, sekiranya pasangan itu bernikah pada bulan ini, dan tempoh PKP masih berjalan, temu duga ini terpakai dan tidak perlu kursus pra perkahwinan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu beliau Mohd Akmal antara syarat yang perlu patuhi bagi mengikuti TTK dalam tempoh PKP ini adalah perlu mematuhi Enakmen Keluarga Islam Negeri Perak 2004.

“Pemohon hendaklah memohon kebenaran berkahwin ini secara atas talian di pautan www.sppim.gov.my/sppim/online/benarnikahonline.

“Selain itu pemohon juga hendaklah mengemukakan nombor rujukan Benar Nikah Online (BNO) dan tarikh akad nikah dalam tempoh PKP yang akan dicadangkan dalam borang permohonan temu duga khas,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata JAIPk juga sedang mengkaji kaedah sesuai bagi urusan perkahwinan selepas PKP berakhir dan ia termasuk ujian secara atas talian serta pelaksaan baru bagi kursus pra perkahwinan pasca COVID-19.

Untuk rekod setakat ini seramai 262 pasangan telah selamat dinikahkan di seluruh Perak dalam tempoh PKP.

 

INFO TAMBAHAN

Berikut adalah Skop Penilaian Sesi Temuduga Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI)

Skop Akidah

1. Pemohon mengucap Dua Kalimah Syahadah dan penjelasan secara umum

2. Pertanyaan Rukun Iman, Rukun Islam, dan Ihsan serta penjelasan secara umum

 

Skop Ibadah

3. Hukum Solat dan bacaan Surah al-Fatihah dengan secara tartil

4. Penjelasan umum berkaitan hadas besar dan hadas kecil

 

Skop Akhlak

5. Pemohon diminta untuk menyebutkan tiga sifat terpuji (mahmudah) dalam Islam dan penjelasan secara umum

6. Pemohon diminta untuk menyebutkan tiga sifat terkeji (mazmumah) dalam Islam dan penjelasan secara umum

 

Skop Tanggungjawab Suami Isteri

7. Pertanyaan berkenaan hak-hak keluarga mertua dan anak-anak serta penjelasan secara umum

8. Pertanyaan berkenaan hak-hak suami dan isteri serta penjelasan secara umum

 

Skop Prosedur Kekeluargaan

9. Sekiranya berkali pertelingkahan antara suami dan isteri, di manakah tempat sesuai untuk melakukan runding cara?

10. Adakah menjadi suatu kesalahan sekiranya berlaku penceraian di rumah (luar mahkamah)

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");