Berita Hari Ini

Polis Perak Masih Siasat Dakwaan Aktivis Dikasari

IPOH- Polis Perak masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat anggota polis mengasari lima aktivis yang ditahan semasa mengadakan satu piket di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, awal bulan ini.

Ketua Polis Negeri, Razarudin Husain berkata, siasatan secara terperinci itu penting untuk memastikan sama ada dakwaan salah laku itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Apabila siasatan selesai, kita akan menghantar kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk cadangan keputusan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pemantauan Program Pegawai Perhubungan Sekolah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, hari ini.

Pada 22 Jun lepas, lima aktivis termasuk Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Nasional dalam Perkhidmatan Sokongan dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS) M. Sarasvathy membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Daerah Ipoh kerana mendakwa dikasari pihak berkuasa.

Lima aktivtis itu mendakwa kononnya anggota polis menggunakan kekerasan apabila menangkap mereka semasa menyertai piket pekerja syarikat perkhidmatan pembersihan di HRPB pada 2 Jun dan ketika berada satu malam di lokap Balai Polis Pusat dan Balai Polis Pekan Baru.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, 12 premis di sekitar daerah Manjung dan Kerian diarah tutup selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), semalam.

Katanya, premis berkenaan diarah tutup dalam tempoh satu atau dua minggu kerana kegagalan mematuhi arahan supaya menyediakan buku maklumat pelanggan dan cecair pembasmi kuman walaupun telah diberi amaran beberapa kali.

Katanya, polis di Perak telah menubuhkan pasukan pemantau terdiri daripada 559 anggota untuk memantau rumah ibadah, tempat riadah, sekolah dan premis perniagaan di semua daerah sepanjang PKPP.

Mengenai pemantauan di SMJK Sam Tet, Razarudin berkata pematuhan kepada SOP amat memuaskan dan mengikut saranan Kementerian Pendidikan terutama dari segi perjalanan pelajar masuk ke kelas, tandas serta membeli makanan pada waktu rehat.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");