Berita Hari Ini

Remaja Pandu Lawan Arus Dihukum Penjara Lima Tahun, Denda RM18,000

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja perempuan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu secara melulu dan melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, tiga tahun lepas.

Bernama melaporkan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman itu ke atas Ng Pei Ven, 22, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan remaja itu dihukum penjara 24 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda dkenakan serta lesen memandu percubaannya dibatalkan dan tertuduh turut hilang kelayakan untuk memohon lesen kenderaan selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan hari ini didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan RM5,000 lagi menjadi RM12,000 daripada RM7,000 sebelum ini.

Sebaik hukuman diberikan tertuduh yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis dan beberapa kali mengesat air mata.

Pada 24 Mac 2017, Ng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pada 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala Ng diwakili peguam Lim Boon Beng.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");