Berita Hari Ini

Rugi Hampir RM13,000 Ditipu Wanita Menyamar LHDN

KUALA TERENGGANU: Bimbang diisytihar muflis kerana didakwa mempunyai hutang tertunggak, seorang lelaki kerugian hampir RM13,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam.

BH Online melaporkan kejadian bermula apabila mangsa berusia 24 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita mengaku, kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jam 4.30 petang pada 16 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud, berkata suspek memaklumkan mangsa mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM38,690 kerana tidak membayar cukai syarikat di Pahang.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa akan diisytihar muflis sekiranya dia tidak membayar hutang berkenaan sebelum panggilan disambungkan kepada anggota polis memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Saiful’.

“Talian mangsa kemudian disambungkan ke ‘Bank Negara Malaysia’ dan mangsa yang ketakutan, memberikan semua maklumat peribadinya termasuk maklumat akaun.

“Suspek turut mengingatkan mangsa supaya tidak melakukan sebarang transaksi selama 24 jam selepas menerima maklumat peribadi daripada mangsa kononnya ia boleh menganggu siasatan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan diberikan namun tergerak untuk memeriksa baki dua akaun banknya pada Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

M Zambri berkata, mangsa terkejut sebaik mendapati baki simpanan kedua-dua akaun banknya berkurangan membabitkan kerugian RM12,450.

Katanya, mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");