Perak Hari Ini

“Saya Buat Pilihan Yang Betul Tinggal DAP”- Adun Buntong Sah Sertai Gerakan

IPOH- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, A. Sivasubramaniam yang kini menjadi wakil rakyat Bebas menyokong Kerajaan Perikatan Nasihat (PN) telah menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Sebagai rekod keahlian pula, beliau telah menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak tahun 1997 lagi iaitu selama 23 tahun dan bertindak keluar dari parti itu pada 9 Mac yang lalu.

Katanya, sepanjang 22 bulan campur tangan DAP dalam pemerintahan negeri sebagai kerajaan adalah terlalu parah dan hanya berpaksikan kepentingan diri semata-mata.

“Malangnya, apa yang terjadi selama lebih 22 bulan di Perak adalah amat mendukacitakan, keadaan sebenarnya adalah terlalu pahit.

“Demokrasi dalam DAP Negeri Perak dikawal oleh satu dua orang yang berkuasa, mengenepikan kesuburan demokrasi dalam parti itu dan tiada siapa yang boleh menegur mereka, tiada siapa yang boleh menasihati mereka di mana demokrasi ala DAP adalah terlalu cacat.

“Saya tahu apa yang rakyat perlukan, saya buat pilihan yang betul untuk meninggalkan DAP kerana DAP tidak sampaikan kepada rakyat sepanjang 22 bulan yang lepas,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Gerakan, di sini, hari ini.


Menurut beliau, pada awalnya beliau tidak mempunyai sebarang hasrat menyertai mana-mana parti, namun selepas dua bulan terdapat ahli beliau yang ingin tahu hala tuju sebenar dan akhirnya beliau telah memilih parti Gerakan.

Katanya lagi, keputusan untuk melepaskan keahlian dalam DAP adalah tepat dan berasaskan kebajikan kepada rakyat di kawasan Buntong.

“Saya bertanggungjawab kepada pengundi saya, saya bertanggungjawab kepada penduduk Buntong dan saya rela mengorbankan segala yang ada demi kebaikan rakyat, demi melindungi pengundi saya.

“Kini, perjuangan saya akan mengambil langkah seterusnya, sebuah perjalanan baru yang dapat memenuhi aspirasi rakyat, yang dapat mengetengahkan kepentingan rakyat bersama,” katanya.

Selaras dengan keputusan tersebut katanya, beliau akan tetap menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Kerajaan Negeri Perak.

Sementara itu tambah beliau, seramai 21 cawangan DAP di kawasan Buntong yang turut tidak berpuas hati dengan cara politik kotor DAP akan meninggalkan parti berkenaan dengan jumlah keahlian seramai 630 orang.

Tambah Sivasubramaniam, beliau yakin dengan posisi kini dan komited untuk menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat Buntong, dan mengerakkan perpaduan serta menyatukan fahaman politik yang sihat dapat dilakukan tanpa sebarang campur-tangan negatif.

Sementara itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, penyertaan bekas ADUN DAP itu menjadi bukti, perjuangan parti yang ditubuhkan sejak 52 tahun itu adalah relevan.

“Keahlian dalam Gerakan sama sekali bukan berasaskan agama, kaum ataupun bangsa. Pendirian dan perjuangan kita adalah untuk menegakkan demokrasi dan membenarkan hak-hak terhadap semua rakyat.

“Saya percaya YB Siva bersama ahlinya juga bersetuju dengan perjuangan kita lalukan dan kerana itulah memilih parti ini untuk meneruskan aspirasi rakyat yang diperjuangkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");