Panasnya Hari Ini

Semua Pihak Digesa Lakukan Gencatan Politik – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa semua ahli dan parti politik, sama ada di blok kerajaan atau pembangkang, melakukan gencatan politik buat sementara waktu bagi memberi laluan pemulihan ekonomi berjalan lancar.

BH Online melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan keutamaan semua pihak ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang dihimpit kesukaran kesan penularan COVID-19, berbanding perebutan kuasa politik yang hanya akan memudaratkan negara.

“Tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar lantaran kegawatan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat ini, Pemuda UMNO menyarankan ahli politik daripada gabungan parti dalam kerajaan mahupun pembangkang, dapat segera melakukan gencatan politik buat seketika,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gesaan Pemuda UMNO itu dibuat ketika parti politik melancarkan perang saraf mengenai jumlah kerusi Parlimen dimiliki kerajaan dan pembangkang, yang mencetuskan polemik kemungkinan kerajaan bertukar tangan sekali lagi, meskipun penularan COVID-19 dan pemulihan ekonomi masih belum selesai.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang disifatkan menyeluruh dan mencakupi semua pihak termasuklah golongan pekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), belia dan rakyat di pelbagai peringkat.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO akan menggerakkan seluruh jenteranya di 191 bahagian bagi memantau pelaksanaan PENJANA dan memberi maklum balas kepada kerajaan bagi memastikan objektif pemulihan ekonomi negara berjaya direalisasikan.

“Walaupun terpaksa menghadapi serangan, tohmahan, dan kegilaan politik sesetengah pemimpin serta parti politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan pentadbiran, wujudnya pelan PENJANA adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PENJANA membabitkan peruntukan bernilai RM35 bilion bagi merangsangkan lagi ekonomi negara.

Ia adalah pelan pemulihan ekonomi ketiga, selepas kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS bernilai RM260 bilion, masing-masing pada Mac dan April lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");