Panasnya Hari Ini
Like

Shafie Bersyukur Cadangan Calon PM, Tapi Perlu Masa Fikir

June 29, 2020
152 Views
0 Comments
2 minutes read
Shafie Bersyukur Cadangan Calon PM, Tapi Perlu Masa Fikir

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal bersyukur dicalonkan sebagai perdana menteri Pakatan Harapan, tetapi beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkannya.

Presiden Warisan itu berkata, beliau perlu berbincang dengan pemimpin tertinggi partinya, tetapi akan membuat keputusan sebelum Parlimen bersidang semula bulan depan.

“Saya sangat bersyukur ia datang daripada Dr Mahathir Mohamad, pemimpin terkenal di dunia mencadangkan saya sebagai calon perdana menteri.

“Itu satu cadangan yang saya perlu teliti secara mendalam dan saya belum bincang dengan Timbalan Presiden Warisan (Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Yusof Yacob).

“Ini satu cabaran besar untuk saya, tapi saya akan melihat ini secara serius. Bagi saya masa sedikit, ia tidak akan mengambil masa lama,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Peter Mojuntin di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu yang tidak pernah menjangkakan diri akan dicalonkan berkata, beliau memerlukan sedikit masa kerana ada isu lain di Sabah yang perlu diselesaikannya.

Shafie berkata, beliau belum menerima maklum balas cadangan itu daripada PKR dan DAP Sabah.

Katanya, beliau tidak tahu jika dirinya mampu mendapat sokongan semua ahli Parlimen, tetapi mesti ada sebab Mahathir mencadangkannya sebagai calon perdana menteri PH.

“Mungkin beliau cuba menyatukan rakyat dalam pergolakan politik di negara kita kebelakangan ini.

“Tetapi, saya perlu melihat semua aspek kerana jawatan ini memerlukan saya untuk fikir mengenai seluruh negara. Saya juga perlu fikir siapa yang akan menjadi ketua menteri Sabah seterusnya.

“Saya tak boleh hanya cakap ‘bye-bye Sabah’. Saya bukan orang yang akan tinggalkan keadaan dalam huru-hara.”

Katanya, tidak timbul isu kepercayaan antara beliau dan Mahathir kerana veteran politik itu sudah membantu Sabah memenuhi 17 daripada 21 tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 serta melantik 3 ahli Parlimen Sabah menganggotai Kabinet pimpinannya.

Beliau berkata, tidak perlu mengadili tindakan lampau Mahathir kerana ramai yang tidak menghargai kebaikan dilakukan bekas perdana menteri itu lapor FMT.

Komen & Pendapat

Comments are closed.