Berita Hari Ini

SPRM Lapor Polis Dakwaan Bekas Pembantu Syed Saddiq Diugut, Diherdik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis susulan dakwaan seorang wanita diugut, diherdik dan dipaksa memberi keterangan.

BH Online melaporkan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur atau takut dengan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.

Selain itu, katanya, SPRM mempunyai bukti bahawa tohmahan terbabit adalah palsu dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung siasatan perkara berkenaan.

“SPRM menolak sekeras-kerasnya dakwaan menyatakan Setiausaha Kehormat Youth Power Club, Siti Nurul Hidayah diugut, diherdik dan dipaksa untuk memberikan keterangan seperti dinyatakan dalam video disiarkan di Facebook.

“Dakwaan beliau dikerumuni empat atau lima pegawai lelaki dan diugut adalah rekaan semata-mata. Sebaliknya sepanjang masa proses rakaman pernyataan dibuat beliau ditemani dua pegawai wanita.

“Kehadiran dia secara sukarela sebagai antara saksi utama memberikan keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Siti Nurul Hidayah mendakwa dia diugut, diherdik dan dipaksa memberi keterangan melalui rakaman video yang disiarkan menerusi akaun Facebook Bersatu.TV.

Berdasarkan laporan polis dikemukakan Siti Nurul Hidayah yang juga pembantu peribadi bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa beliau dipanggil untuk disoal sebanyak tiga kali sejak April lalu.

Beliau mendakwa pegawai SPRM merampas telefon bimbitnya, melemparkan telefon kepadanya, menggunakan perkataan kesat, mengancam untuk menampar, menendang kerusi dan mematikan lampu semasa sesi soal jawab.

Siti Nurul Hidayah mendakwa dia dipaksa menjawab soalan mengenai kehidupan peribadi Syed Saddiq dan percaya taktik pegawai berkenaan adalah untuk menekannya supaya mengakui maklumat membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");