Berita Hari Ini

Suami isteri didakwa terlibat dalam kes rasuah

SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, dan didakwa secara berasingan atas tuduhan rasuah berkaitan pembocoran maklumat tender Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Tertuduh Rosman Mohad Basir, 40, yang merupakan Penolong Pegawai Perolehan di PAIP mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM105,000.

Dia yang berasal dari Raub, dekat sini didakwa menerima suapan itu antara September 2015 hingga Disember 2018 daripada dua ahli perniagaan secara serahan tunai di daerah ini atau dimasukkan ke dalam tiga akaun bank berkaitan dirinya.

Suapan yang melibatkan transaksi bernilai antara RM1,000 hingga RM40,000 didakwa sebagai upah kerana telah memberikan maklumat butiran kerja seperti skop projek dan butiran harga kerja kepada ahli perniagaan terbabit yang ingin membida tender kerja PAIP.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Zulkifli Yong merayu supaya jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

“Tertuduh masih bekerjasama walaupun hanya dipanggil oleh pihak siasatan dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Saya juga ingin maklumkan bahawa anak guam saya perlu menjalani rawatan di hospital akibat angin ahmar,” katanya.

Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kuantan setiap bulan.

Di mahkamah sama, isteri Rosman, Marina Muhammad, 45, yang merupakan seorang peguam mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan bersubahat menerima wang berjumlah RM51,000 antara 9 Jun 2017 hingga 28 Sept 2018 menerusi akaun bank miliknya di Maybank cawangan Setapak, Kuala Lumpur dan akaun Affin Bank Bhd Cawangan Kuantan kepunyaan firma guamannya.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mohd Ghazali membenarkan Marina diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuantan setiap bulan. Beliau juga menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");