Perak Hari Ini

Syukur Dapat Tunai Solat Jumaat, Pemilihan Jemaah Terpulang Pada Ahli Jawatankuasa

IPOH: Setelah dua bulan tidak dapat menunaikan Solat Jumaat akhirnya 40 jemaah terpilih di Masjid Sultan Idris Shah II, dekat sini menzahirkan kesyukurkan apabila kembali berpeluang untuk menunaikan kewajipan itu hari ini.

Sebelum ini Perak hanya membenarkan 12 orang jemaah bagi mendirikan Solat Jumaat yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau namun, mulai hari ini seramai 40 jemaah tidak termasuk ahli jawatankuasa telah dibenarkan melakukannya.

Bagi Nor Hisyam Mohd Idris, beliau bersyukur apabila masjid kembali dibuka semenjak ianya ditutup susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Menurutnya, penutupan masjid dapat digambarkan buat dirinya seolah-olah sebagai satu kehilangan.

Katanya perkara tersebut juga seharusnya menjadi pengajaran khususnya kepada golongan muda untuk mengimarahkan masjid selepas ini.

“Dahulu tempat-tempat lain seperti pasar dan pusat membeli-belah dibuka, tetapi masjid masih tidak dibenarkan dibuka. Mungkin ketika itu ada masyarakat Islam yang mempersoalkannya.

“Namun kini masjid telah dibuka kembali. Saya berharap rasa keinsafahan dapat wujud pada semua umat Islam. Marilah kita hadir ke masjid dan menunaikan Solat Subuh secara berjemaah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II.

Difahamkan kesemua jemaah yang hadir telah dihubungi ahli jawatankuasa masjid pada semalam bagi menyenaraikan kebenaran hadir mendirikan Solat Jumaat yang diimamkan Imam Besar, Abd Farid Salleh.

Sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat utama, mereka harus mendaftarkan kehadiran di pintu masuk masjid sebelum suhu setiap daripada mereka diperiksa terlebih dahulu.

Selain penjarakan sosial antara prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi setiap jemaah ialah dengan membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk dari rumah mahupun pejabat.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata ahli jawatankuasa masjid dan surau diberi kebebasan bagi menyenaraikan nama-nama jemaah yang dibenarkan mendirikan Solat Jumaat.

“Kita memberi kebebasan ahli jawatankuasa untuk membuat kaedah tertentu bagi menentukan penggiliran jemaah yang hadir.

Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin

“Ada yang buat jemaah terawal yang hadir dibenarkan. Ada juga yang membuat kaedah mendaftar dan sebagainya. Jadi terpulang pada kebijaksanaan ahli jawatankuasa,” katanya.

Solat Jumaat di di Masjid Sultan Idris Shah II itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusop memaklumkan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan bagi mengadakan hanya kuliah Maghrib sekitar 30 minit, di seluruh negeri bermula hari ini.

Katanya ia sebagai memberi ruang kepada para jemaah pada Solat Maghrib menantikan masuknya waktu Solat Isyak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");