Membawang Hari Ini

‘Tak panggil menyanyi sebab perut buncit’ – Roy

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pendapatan Roy sebagai penyanyi jalanan terjejas apabila pusat beli belah di Setiawangsa dan restoran di Jalan Stonor yang menjadi tempatnya mencari makan sejak dua tahun lalu terpaksa ditutup.

Sejak kerajaan memberi kebenaran kepada pemuzik jalanan atau busker menjalani aktiviti busking di tempat tertutup minggu lalu, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kau Ratnaku mengakui dia kini boleh menarik nafas lega.

Sejak Selasa lalu, penyanyi berusia 56 tahun itu kembali menghiburkan pelanggan di sebuah restoran di tengah kawasan segi tiga emas.

“Alhamdulillah, atas kebenaran diberikan kerajaan kepada pemuzik jalanan untuk kembali menjalani aktiviti busking di tempat tertutup. Tiga bulan tidak dibenarkan busking, manakala undangan persembahan turut dibatalkan memanglah sedikit sebanyak mencabar.

“Sepanjang tempoh PKP, saya menggunakan wang simpanan yang ada untuk perbelanjaan harian. Mujur bank menawarkan moratorium, jadi agak lega sedikit kerana dapat pelepasan pembayaran pinjaman kereta.

“Insya-Allah, saya akan kembali ke pentas busking di restoran yang terletak di Kuala Lumpur dan masih menanti panggilan daripada pusat beli belah di Setiawangsa.

“Ketika PKP, saya difahamkan mereka bertukar pengurusan, jadi saya perlu menunggu keputusan pengurusan baharu sama ada dibenarkan kembali menyanyi atau sebaliknya,” kata Roy yang sudah dua tahun menyanyi di pusat beli belah berkenaan.

Roy atau nama sebenarnya, Mohamed Rauzan Alwi sebelum ini pernah menjadi pensyarah vokal untuk beberapa institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan agensi kerajaan berkata, biarpun pendapatan diperoleh sebagai penyanyi jalanan tidak lumayan, tetapi mampu menampung kehidupan seharian. Lagipun, isterinya mempunyai perniagaan.

Sebelum ini, pasangannya itu menguruskan kantin sekolah dan kini memiliki sebuah restoran yang baru sahaja memulakan operasi selepas PKP di Banting, Selangor.

“Biarpun pendapatan diperoleh sebagai penyanyi jalanan tidak mewah tetapi ada pendapatan tetap. Hendak mengharapkan pendapatan undangan persembahan tidak selalu ada, lagipun ada penganjur sangat menitik beratkan soal rupa.

“Saya pernah diberitahu penganjur yang mereka tidak boleh memanggil saya dengan alasan perut saya buncit.

“Saya tidak marah, sebaliknya faham. Selain bakat, rupa paras juga penting untuk menghiburkan penonton,” katanya kepada BH Online.

Roy berkata, dia pernah mencuba mengawal pemakanan, tetapi memerlukan displin yang ketat, barulah dapat menurunkan saiz perut.

“Sebenarnya, saya bergantung kepada steroid berikutan masalah kesihatan yang dialami. Sebab itulah, perut saya naik dengan mendadak. Bagaimanapun, pada usia sekarang, saya tidak mampu mengamalkan diet terlalu drastik, saya perlu makan kerana memerlukan tenaga untuk membuat persembahan.

“Sewaktu membuat persembahan di pusat beli belah di Setiawangsa pada setiap Jumaat hingga Ahad, saya akan menyanyi daripada jam 2 petang hingga 10 malam.

“Jadi, saya memerlukan tenaga yang banyak kerana untuk satu jam saya perlu menyanyi antara 10 hingga 12 lagu. Jika saya berdiet, bimbang tiada tenaga pula,” kata Roy.

Masih menanti jawapan pusat beli belah, Roy berkata, dia baru sahaja dipanggil pihak pengurusan UM, seandainya ada rezeki berkemungkinan akan mencurahkan kembali ilmu kepada penuntut di unversiti berkenaan.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan kembali mengajar. Adalah pendapatan tambahan untuk saya sekiranya khidmat diperlukan kembali, di samping dapat mencurahkan ilmu kepada penuntut,” katanya yang sudah menulis tiga buku dan satu jurnal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");