Berita Hari Ini

Ubah suai Jata Negara patut kena hukuman berat tanpa kompromi

Tindakan mengubah suai Jata Negara perlu dikenakan hukuman berat tanpa kompromi kerana ia adalah perbuatan sangat biadap dan tidak boleh dimaafkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Jata Negara adalah simbol tertinggi untuk sesebuah negara.

“Kita kesal yang amat sangat kerana dalam soal simbol kebesaran negara, bukan sahaja menghormatinya, malah untuk menggunakan simbol-simbol kebesaran negara ini juga perlu tertib dan penuh etika. Misalnya, Jata Negara kena digunakan penuh dan apabila dipamerkan mesti diletakkan di atas sekali dan tidak ada simbol lain yang boleh diletak… apa lagi meletak wajah entah siapa.

“Ini perbuatan yang sangat biadap dan tidak boleh kita kompromi dengan keadaan sedemikian rupa, saya yakin polis akan menyiasat dengan rapi dan saya harap siapa saja bersalah itu akan diberi hukuman berat,” katanya pada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Salong dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah SKMM Pahang Zahari Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang Datuk Zulfikri Hashim, Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu.

Saifuddin berkata, semua rakyat Malaysia perlu menghormati Jata Negara, sama seperti menghormati Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, katanya, alasan penerbit buku kontroversi itu, Chong Ton Sin, yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja sebagai tidak munasabah.

Buku yang didakwa menggunakan visual mirip Jata Negara, mendapat perhatian kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara selepas ia tersebar di media sosial.

Lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Berikutan perbuatan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik telah membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit.

Selain itu, Saifuddin berkata, pembinaan 10 menara komunikasi baharu bagi perkhidmatan 4G di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dapat memberi liputan internet yang lebih baik kepada penduduk tanah rancangan itu.

Beliau berkata, inisiatif menambah baik capaian internet dibuat berdasarkan keputusan pemantauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di 15 kawasan di DUN Chini pada 27 Mei lalu yang mendapati capaian internet di situ adalah sangat rendah.

“Selain membina menara baharu, sebanyak 11 menara sedia ada akan dinaik taraf daripada 2G dan 3G kepada 4G. Untuk perkhidmatan jalur lebar tetap pula, 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik dan dijangka siap akhir tahun 2021,” katanya.

Saifuddin juga berkata, ketika ini terdapat dua stesen pemancar di menara sedia ada di FELDA Chini dan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai sudah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G selain sebuah menara baharu dengan perkhidmatan 3G dan 4G beroperasi sejak pada suku kedua tahun ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");