Berita Hari Ini

Waspada sindiket penipuan menyamar pegawai LHDN

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendapati penipuan sindiket itu kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Menurut kenyataan tersebut, sindiket terbabit menggunakan beberapa modus operandi iaitu dengan menghubungi mangsa dan memaklumkan kononnya terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan dan meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDN.

“Sindiket juga akan menggunakan taktik dengan menghubungi mangsa melalui telefon dan memaklumkan terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa. Mangsa juga akan diarahkan memindahkan baki akaunnya ke akaun pihak ketiga bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, sindiket juga akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.

Selain itu, sindiket juga akan menyamar sebagai pegawai LHDN dan menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon mirip nombor telefon LHDN dan menggunakan teknik ‘spoofing’ memetik Sinar Harian.

“Mangsa akan diberitahu kononnya mempunyai baki cukai tertunggak daripada syarikat yang didaftarkan atas namanya dan diarahkan untuk menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat bayaran kepada akaun pihak ketiga selain daripada akaun LHDN.

“LHDN bagaimanapun ingin menegaskan bahawa setiap pegawai kita terikat dengan peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan setiap maklumat peribadi pembayar cukai tidak akan dihebahkan kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan setiap panggilan, mesej, e-mel mahupun surat yang diterima daripada LHDN yang meragukan.

“Orang ramai boleh menyemak dengan LHDN melalui panggilan ke Hasil Care Line, Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDN atau hadir ke cawangan LHDN yang berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan, pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali dan jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali tetapi semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");