Berita Hari Ini

20,000 pelajar Malaysia terkandas di luar negara

Dianggarkan 20,000 pelajar Malaysia masih terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas), Redzuan Yusof berkata kerajaan sedang meneliti langkah boleh diambil untuk membawa pulang semua pelajar terbabit secara berperingkat.

“Contohnya pelajar yang tamat kursus pengajian, kita tidak mahu lengah-lengah bawa pulang mereka dan Kementerian Pengajian Tinggi akan pastikan mereka dibawa pulang dan dibayar belanjanya oleh penaja yang menaja pelajar.

“Kerajaan juga menyediakan peruntukan, tidak banyak tetapi cukup untuk bawa pulang pelajar Malaysia yang masih terkandas di luar negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) hari ini.

Redzuan berkata, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang misi membawa pulang pelajar terperangkap di luar negara dilakukan kerajaan.

Antaranya membabitkan undang-undang berbeza setiap negara yang pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian.

“Contohnya, sama ada negara berkenaan membenarkan penerbangan masuk atau keluar. Contohnya, kita juga semalam berbincang di Amerika Syarikat penularan nampaknya meningkat, kita bimbang dan kita hendak ambil kesempatan ruang angkasa AS yang masih terbuka ketika ini.

“Sama ada kita ada penerbangan terus dari AS ke Malaysia atau ada syarikat penerbangan lain yang boleh bawa pulang pelajar ke Malaysia. Kita kena perhalusi keadaan sebegitu sebelum buat keputusan melibatkan kewangan negara.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");