Berita Hari Ini

214,398 warga asing tiada rekod keluar Malaysia

Seramai 214,398 daripada 912,374 warga asing tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia sehingga 15 April lalu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendapati pergerakan kumpulan terbabit gagal disahkan berikutan 4,489 gangguan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), antara 2016 hingga 2018, selain terdapat 29 ‘patch on’ sistem lain yang berurusan dengan MyIMMs menyebabkan ia tidak stabil.

Berikutan keadaan tidak stabil itu, ada data sudah dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar atau masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau gagal disepadukan dengan MyIMMs.

“Sistem MyIMMs kerap ‘downtime’ (tidak aktif) dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar atau masuk di pintu sempadan negara.

“Antara faktor warga asing masuk ke Malaysia tetapi tiada rekod keluar adalah kerana sistem mengalami masalah integrasi, menyebabkan berlaku isu teknikal pengoperasian sistem,” katanya.

Laporan itu turut mendapati, seramai 5,750 daripada 214,398 warga asing terbabit disahkan keluar, manakala 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

“Sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat terbabit tidak melakukan pergerakan keluar atau masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan).

“Jabatan Imigresen sudah melaksanakan langkah penambahbaikan bermula Mac lalu, bahawa proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

“Selain itu, sampel terhadap 300 warga asing mendapati golongan terbabit tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan, iaitu antara 121 hingga 1,087 hari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, LKAN turut mendedahkan kemudahan Arahan Imigresen dan Pasport (Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam) (Pengecualian) 1988 disalahgunakan bagi kegiatan penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke Malaysia.

Selain itu, katanya, berlaku kegiatan rentas sempadan tanpa prosedur sah dengan menyeberangi Sungai Golok di kawasan Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang ke Pekan Munduk, Thailand.

Ada 88 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok digunakan untuk membawa keluar atau masuk barangan dan orang, hingga Disember 2019.

“Pagar atau tembok keselamatan dibina telah rosak kesan daripada aktiviti penyeludupan dan faktor usia melebihi 40 tahun. Kawasan paling kerap dan kritikal berlakunya kerosakan pagar atau tembok keselamatan sepanjang 5.3 kilometer (km), bersebelahan pintu masuk sempadan Padang Besar, Perlis.

“Tiada norma ditetapkan bagi bilangan anggota untuk setiap pos. Secara purata setiap pasukan terdiri daripada dua anggota perlu membuat rondaan di kawasan operasi sejauh 0.4 hingga 10 km.

“Tiada sebarang norma ditetapkan berhubung jumlah aset bagi tujuan operasi oleh Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Secara purata setiap pos hanya boleh menggunakan sebuah motosikal, berbanding kekuatan anggota setiap pos adalah antara 10 hingga 41 orang. Bagi operasi PGA di Sarawak, tiada motosikal dibekalkan untuk tujuan rondaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");