Berita Hari Ini
Like

32.6 Juta Penduduk Malaysia Dibanci Bermula Selasa Ini

July 3, 2020
433 Views
0 Comments
4 minutes read
32.6 Juta Penduduk Malaysia Dibanci Bermula Selasa Ini

KUALA LUMPUR – Projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan 32.6 juta penduduk akan dihitung melalui Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula Selasa ini.

Menurut lapora Bernama, bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian tersebut adalah kali keenam dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 dan kali ini ia merangkumi sembilan juta kediaman bagi mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan maklumat laman web mycensus.gov.my, aktiviti banci akan dilaksanakan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia dalam dua fasa, iaitu fasa pertama secara dalam talian bermula 7 Julai hingga 30 Sept ini, manakala fasa kedua bermula 7 Okt hingga 24 Okt secara bersemuka.

Pembancian dijalankan ke atas semua orang di tempat tinggal biasa mereka pada hari bancian, termasuk bukan warganegara yang telah atau akan tinggal selama enam bulan atau lebih di Malaysia dalam tahun ini.

Namun, bayi yang lahir selepas Hari Banci, orang yang meninggal dunia sebelum Hari Banci, serta bagi mereka yang tinggal di luar negara ataupun akan keluar negara bagi tempoh enam bulan atau lebih untuk bekerja atau belajar, mereka dikecualikan daripada kiraan banci.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini, pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu pada 7 Julai.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” memetik kenyataan itu.

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian mula diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih pada Banci 2020.

Bagi melengkapkan borang e-Banci (e-Census), poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan e-Census di Portal Banci akan dihantar ke tempat kediaman setiap penduduk, selain aplikasi mudah alih untuk kegunaan pembanci mengisi maklumat semasa sesi temu ramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.

Selain kaedah pengisian dalam talian menerusi pautan https://ecensus.mycensus.gov.my, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menghubungi penduduk yang terpilih bagi kaedah telefon.

Mohd Uzir dalam perutusan khasnya di portal DOSM berkata Banci 2020 akan menggunakan pendekatan ‘de jure’ iaitu maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa pada Hari Banci.

“Sistem banci berpusat dan komprehensif ini, dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census), menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.

“Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.

“Soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam Banci 2020 bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, DOSM juga telah mengadaptasi pendekatan baru dengan memperkenalkan portal MyCensus 2020 (www.mycensus.gov.my) sebagai gerbang maklumat yang membekalkan banyak maklumat banci dalam bentuk infografik, visualisasi interaktif dan pelbagai aplikasi atas talian berkaitan banci.

Penghasilan profil yang terperinci ini juga akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam.

Namun, berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969), Banci 2020 turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.