Perak Hari Ini

‘Akhirnya Dapat Juga Tunai Solat Jumaat…’

IPOH: Walaupun Solat Jumaat di Perak telah dibenarkan kepada umum semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun masih ada lagi yang tidak berkesempatan menunaikan kewajipan tersebut.

Namun dengan kebenaran mengadakan Solat Jumaat di semua surau yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) seperti diumumkan pada Rabu nyata memberi kelegaan kepada semua.

Penduduk Taman Perpaduan Ulu Kinta, di sini, Mustafar Rahadi, 50 berkata hari ini merupakan kali pertama dia dapat menunaikan Solat Jumaat sejak PKPP.

Selain bersyukur Mustafar juga menzahirkan rasa rindu untuk kembali berpeluang menunaikannya.

“Semasa PKPP masih ada lagi yang tidak berpeluang untuk menunaikan Solat Jumaat. Ada kalanya kalau terlambat sedikit, kita tidak dibenarkan masuk ke masjid. Namun kita akur kerana ia demi keselamatan masing-masing.

“Jadi, dengan adanya kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat di surau ini memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Jumlah yang dapat menunaikan solat Jumaat akan lebih ramai selain ramai penduduk setempat akan berpeluang untuk bersolat,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Huda Taman Perpaduan, di sini.

Selain itu bagi, Ahmad Shukur Arifin, 20, kebenaran pembukaan surau bagi menunaikan Solat Jumaat memberi keselesaan kepada dirinya.

“Sebelum ini dalam tempoh PKPP, saya bersolat Jumaat di Masjid Hajjah Puteh Mahami. Namun apabila dibenarkan untuk bersolat di surau ini amat mudah bagi saya untuk bergerak.

“Ini kerana kedudukan rumah saya lebih dekat dengan Surau Al-Huda,” katanya yang juga merupakan salah seorang penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, Pengerusi Surau, Mohamad Khir Mohamad Ramli berkata kelulusan bagi kebenaran surau mengadakan Solat Jumaat diterima pihaknya semalam.

Ujarnya pada hari sama segala persiapan turut dilakukan bagi menerima kedatangan maksimum 71 jemaah ke surau yang dibina sejak dua tahun lalu itu.

“Kita telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti saringan suhu, pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka, dan sebagainya.

“Sebelum ini hanya solat fardu berjemaah sahaja diadakan di sini. Dengan ada kebenaran menunaikan Solat Jumaat ia telah memberi kemudahan kepada penduduk,” katanya.

Tinjauan pemberita ke surau tersebut semua jemaah dan perlaksanaan Solat Jumaat mematuhi SOP yang ditetapkan selain ianya turut dipantau oleh pihak berkuasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");