Berita Hari Ini

Amnesty: Jangan sebat pelarian Rohingya

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menggesa pihak berkuasa untuk tidak menjatuhkan hukuman sebat terhadap sekurang-kurangnya 20 pelarian Rohingya.

NGO itu mengatakan Malaysia telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada sekumpulan 31 lelaki Rohingya kerana kesalahan imigresen bulan lalu dan sekurang-kurangnya 20 orang daripada mereka juga dikenakan hukuman tiga kali sebatan.

Hukuman deraan itu dijangka akan dilaksanakan “dalam beberapa hari ini”, tetapi Amnesty International berpendapat hukuman terhadap pelarian ini tidak berperikemanusiaan kerana mereka hanya berusaha untuk mencari perlindungan.

“Rancangan untuk menyebat pelarian Rohingya dengan ganas bukan sekadar zalim dan tidak manusiawi – tetapi juga melanggar undang-undang antarabangsa. Menjatuhkan hukuman ganas seperti hukuman sebat itu sama dengan penyiksaan.

“Orang-orang yang menghadapi hukuman sebat yang ganas, disamping hukuman penjara ini telah melarikan diri daripada penganiayaan dan jenayah kemanusiaan di Myanmar. Mereka juga terselamat dalam perjalanan berbahaya di laut ke Malaysia untuk mencari perlindungan.

“Pendekatan tidak berperikemanusiaan ini sangat mengerikan,” kata penyelidik NGO Malaysia yang berpangkalan di UK, Rachel Chhoa-Howard pada satu kenyataan malam tadi.

Kumpulan itu mengambil maklum mahkamah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman sebat, namun meereka juga mendesak Malaysia untuk membebaskan semua pelarian Rohingya yang ditahan.

Kata kumpulan itu lagi, memasuki negara secara “tidak teratur” tidak harus dianggap sebagai kesalahan jenayah berat.

“Di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kriminalisasi migrasi tidak teratur melebihi kepentingan sah negara dalam mengatur migrasi ke wilayah mereka.

“Tambahan pula, setiap orang – tanpa mengira status penghijrahan mereka – memiliki hak untuk kebebasan dan tiada seorang pun yang patut dikenakan penangkapan atau penahanan sewenang-wenangnya.

“Dalam apa juga keadaan sekalu pun, kanak-kanak tidak boleh ditahan atas alasan imigrasi,” katanya menjelaskan penahanan akan menjejaskan kepentingan terbaik mereka.

Untuk rekod, Malaysia tidak memeterai Konvensyen PBB mengenai Status Pelarian. Ia tidak mengiktiraf status pelarian, yang secara sah dianggap sama dengan jenis pendatang tanpa dokumen lain.

Bagaimanapun, Malaysia membenarkan sesetengah pelarian untuk tinggal sementara di negara ini berdasarkan kes demi kes, sementara menunggu penempatan semula oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ke negara lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");