Berita Hari Ini
Like

Aplikasi Gerak Malaysia Ditamatkan Mulai Esok

July 31, 2020
203 Views
0 Comments
1 minute read
Aplikasi Gerak Malaysia Ditamatkan Mulai Esok

PUTRAJAYA: Aplikasi Gerak Malaysia yang dibangunkan bagi tujuan pengesanan dan penyimpanan rekod pergerakan terperinci ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditamatkan mulai esok.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan bersama, menasihati pengguna supaya memadam aplikasi itu daripada telefon bimbit masing-masing kerana tiada lagi fungsi aktif selepas esok.

Katanya, semua data peribadi akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, manakala rekod pergerakan pengguna berkaitan aplikasi Gerak Malaysia yang disimpan akan dilupuskan.

“Dengan pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu yang menyaksikan tiada lagi keperluan permit rentas sempadan negeri, PDRM dan SKMM memutuskan bahawa penggunaan aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Selain membantu mengesan kontak rapat kes COVID-19, aplikasi Gerak Malaysia membolehkan PDRM menguruskan permit perjalanan rentas sempadan negeri dan memantau jumlah pergerakan dalam masa nyata.

Menurut kenyataan itu lagi, PDRM dan SKMM berjaya menguruskan pergerakan trafik dalam tempoh PKP melalui aplikasi Gerak Malaysia.

“Kerjasama antara PDRM dengan SKMM telah menyumbang kepada kejayaan pelbagai operasi.

“Kerjasama baik ini akan diteruskan dalam menghadapi cabaran pada masa depan demi ketenteraman rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diseru memuat turun aplikasi MySejahtera bagi membantu pihak berkuasa mencegah dan mengawal penularan COVID-19 secara berkesan.

“Aplikasi ini secara asasnya digunakan untuk memperkasa penduduk Malaysia melakukan penilaian kendiri, mendapat maklumat terkini mengenai COVID-19, mengetahui kawasan berisiko, mendaftar diri sebelum memasuki sesuatu premis dan lain-lain lagi,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.