Berita Hari Ini
Like

Bekerja Dari Rumah: CUEPACS Cadang Kerajaan Beri Elaun Khas

July 12, 2020
313 Views
0 Comments
2 minutes read
Bekerja Dari Rumah: CUEPACS Cadang Kerajaan Beri Elaun Khas

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan memberi elaun khas kepada penjawat awam bagi menanggung sebahagian daripada kos utiliti kediaman mereka jika pelaksanaan mod bekerja dari rumah diteruskan.

BH Online melaporkan Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pelaksanaan konsep bekerja dari rumah membolehkan kerajaan menjimatkan kos utiliti kerana kehadiran penjawat awam di pejabat berkurangan.

“CUEPACS menyokong penuh jika kerajaan berhasrat meneruskan pelaksanaan bekerja dari rumah kerana ia satu perkembangan yang baik dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Malaysia.

“Dalam hal ini, perkhidmatan awam di Malaysia bertuah kerana berjaya mengaplikasikan konsep ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, walaupun ada kelemahan dalam pelaksanaan konsep berkenaan, ia boleh ditambah baik pada masa akan datang.

“Bekerja dari rumah adalah normal baharu yang boleh diamalkan dalam sektor pekerjaan termasuk swasta. Bukan sahaja dari sudut keselamatan dan kebajikan pekerja, malah memberi kebaikan kepada majikan sendiri,” katanya.

Adnan bagaimanapun menegaskan, pelaksanaan bekerja dari rumah tidak boleh dilakukan tergesa-gesa bagi mengelakkannya memberi impak dan persepsi negatif kepada penjawat awam serta perkhidmatan kerajaan.

Kerajaan, katanya, perlu menentukan atau mengkaji terlebih dahulu kesesuaian sektor yang boleh melaksanakan konsep bekerja seperti itu sebelum diperluaskan ke sektor lain dalam perkhidmatan awam.

“Sebagai contoh, kerja yang sesuai dilaksanakan dari rumah mestilah perkhidmatan yang tidak memerlukan kakitangan berhadapan dengan pelanggan. Jika jabatan terbabit memerlukan kakitangan berurusan dengan pelanggan secara langsung, maka konsep ini tidak sesuai.

“Implikasi lain yang perlu diberi perhatian adalah integriti penjawat awam. Jika tugas itu membabitkan maklumat rahsia kerajaan atau perolehan kewangan, sudah tentu ia berisiko untuk dilaksanakan jika bekerja dari rumah,” katanya.

Adnan turut mengingatkan ketua jabatan supaya akur dan memainkan peranan dalam menguruskan sumber manusia jika pelaksanaan konsep bekerja dari rumah diteruskan selepas ini.

“Sekiranya konsep bekerja dari rumah dilaksanakan kelak, ketua jabatan perlu bersedia untuk menerimanya dengan sebaik mungkin.

“Jika kakitangan bekerja dari rumah, jangan pula ada ketua jabatan mengeluarkan arahan meminta kakitangan terbabit hadir ke pejabat hanya untuk mereka menunjukkan kehadiran semata-mata,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.