Sukan Hari Ini

‘Berilah Peluang Pada Jurulatih Muda’

KUALA LUMPUR: Jika tidak diberikan peluang dan ruang sudah tentu bakat dan kebolehan jurulatih muda tidak dapat dimanfaat sebaik mungkin terutama untuk barisan pemain muda ketika ini.

Malah, tindakan pihak tertentu yang hanya mengkritik dan mengecam jurulatih muda seperti Khalid Jamlus boleh menyebabkan dia putus harapan sekali gus menyekat keinginannya mencurah ilmu dan pengalaman berguna yang pernah dinobatkan pemenang kasut emas 2002.

Harian Metro melaporkan perkara terbabit disuarakan bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail apabila menyatakan tidak salah untuk menggunakan kepakaran jurulatih muda berkelayakan bagi membimbing pasukan.

Beliau berkata, bekas pemain seperti Khalid boleh berbakti sebagai jurulatih untuk skuad belia atau pembangunan terutama di Akademi Mohktar Dahari (AMD) sekali gus mampu melahirkan penyerang prolifik yang sekarang ini boleh dikatakan posisi yang agak kritikal dalam skuad Harimau Malaya.

“Jurulatih seperti Khalid boleh diletakkan sebagai pembantu jurulatih atau jurulatih dalam skuad pembangunan dan daripada itulah kebolehannya dapat dinilai untuk dinaikkan ‘pangkat’ pada masa akan datang.

“Namun, jika sekarang ini dia dikecam dengan pelbagai tohmahan malah ada yang melemparkan dengan kata-kata kurang enak sudah tentu perkara terbabit akan menyebabkan dia putus harapan,” katanya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Sementara itu, bekas pembantu jurulatih Bawah 19 Hairuddin Omar berkata, sebagai jurulatih kurang berpengalaman, mereka perlu bemula daripada bawah terutama jika mahu mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Kebiasaannya, setiap ketua jurulatih akan memilih atau membawa pembantu jurulatih di kalangan orang mereka sendiri iaitu bermaksud mereka akan memilih pembantu serasi dan sesuai dengannya.

“Oleh itu, peluang harus diberikan kepada semua jurulatih yang berkelayakan dan bukan hanya kepada Khalid saja,” katanya.

Terdahulu, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan, termasuk trofi kasut emas yang dimenanginya cukup mengejutkan ramai pihak sekali gus membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.

Khalid berkata, beliau mengharungi kehidupan yang perit dengan hartanya seperti rumah dan kereta hampir ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

Meskipun memiliki lesen kejurulatih kelas B, dia mengakui agar sukar untuk mendapatkan pasukan termasuk pernah meminta bantuan daripada pihak tertentu seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Liga Malaysia namun semuanya hampa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");