Panasnya Hari Ini
Like

Bicara Kes Najib Babitkan RM27 Juta Dana SRC Bermula 5 Julai Tahun Depan

July 27, 2020
199 Views
0 Comments
1 minute read
Bicara Kes Najib Babitkan RM27 Juta Dana SRC Bermula 5 Julai Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan bermula 5 Julai tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan pada 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai selepas pengurusan kes hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 11 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib, 67.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam 3 akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen tetapi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 selepas pihak pendakwaan membuat permohonan.

Najib juga dibicarakan atas 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC RM42 juta dan kes itu ditetapkan untuk keputusan esok di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. -Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.