Berita Hari Ini

Bintang Bollywood Amitabh Bachchan dan anak positif Covid-19

MUMBAI: Bintang terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan, 77, disahkan positif Covid-19 pada Sabtu dan dimasukkan ke hospital di Mumbai, bersama anaknya yang juga pelakon, Abhishek – yang turut mengumumkan beliau dijangkiti virus itu – tetapi anak-beranak itu mengalami simptom ringan.

“Saya disahkan positif Covid…dipindahkan ke hospital,” Amitabh memberitahu 43 juta pengikut Twitternya.

“Semua orang yang dekat dengan saya dalam 10 hari lalu diminta menjalani ujian!”

Abhishek berkata: “Kami berdua mengalami simptom ringan dan sudah dimasukkan ke hospital…saya minta semua bertenang dan tidak panik”.

Media tempatan melaporkan Amitabh dirawat di Hospital Nanavati di Mumbai memetik FMT.

Berjuta orang India menghormati Amitabh, mendengar setiap kata-katanya, memohon restunya dan berhimpun di luar banglonya di Mumbai sempena ulang tahun kelahirannya pada setiap 11 Okt.

Beliau yang lebih dikenali sebagai “Big B” menjadi terkenal pada awal 1970-an melalui lakonannya dalam filem seperti “Zanjeer” dan “Sholay”.

Filem lakonannya masih mendapat sambutan hangat di seluruh India, tetapi filem berbentuk komedi-drama terbarunya “Gulabo Sitabo” dikeluarkan dalam talian akibat sekatan koronavirus yang menyebabkan pawagam ditutup.

Abhishek, 44, juga pelakon dan penerbit Bollywood berjaya dan berkahwin dengan pelakon serta bekas ratu cantik dunia, Aishwarya Rai.

India mencatatkan 820,916 kes sehingga Sabtu – angka ke-3 tinggi di dunia – dengan 22,123 kematian.

Kakitangan perubatan mengadu kemudahan terlebih beban dan kekurangan kakitangan yang serius. Pengkritik berkata, negara itu tidak dapat menjalani ujian yang banyak dan ramai pesakit tidak didiagnosis.

Mumbai yang merekodkan kira-kira 1/4 daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di seluruh India, bergelut dengan lonjakan baru jangkitan virus itu yang menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membina hospital sementara dan kemudahan kuarantin.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi melonggarkan sekatan walaupun terdapat lonjakan kes Covid-19, tetapi beliau memberi amaran kepada rakyatnya supaya lebih berhati-hati.

Bollywood menyambung semula penggambaran baru-baru ini, selepas penggantungan selama beberapa bulan akibat sekatan pergerakan di seluruh negara sejak lewat Mac lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");