Perak Hari Ini

Bubar BERSATU Kembali Kepada UMNO Cakap Orang Yang Dangkal- Hafez Mubin

IPOH- Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh menepis dakwaan bahawa Parti Peribumi Bersatu (BERSATU) seolah-olah bakal menerima nasib sama seperti penubuhan parti Semangat 46.

Katanya, khabar angin supaya BERSATU dibubarkan dan semua ahlinya kembali kepada UMNO adalah pemikiran yang cetek dan kolot.

“Bercakap berdegar-degar supaya BERSATU dibubarkan dan semua ahlinya kembali kepada UMNO ini cakap politik orang yang dangkal dan jumud. Cakap politik yang tidak diasaskan dengan sifir dan formula politik yang matang.

“Menyamakan BERSATU dengan Semangat 46 itu satu isbat yang lemah fikir. Semangat 46 tidak pernah menewaskan UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tegas beliau, tindakan sesetengah individu dalam UMNO yang memandang rendah terhadap kemampuan parti berkenaan jelas menunjukkan sikap sombong agar nampak lebih lantang.

“Memperkecil parti BERSATU, pada saat dan ketika ini mungkin membuatkan seseorang itu popular dalam UMNO. Kononnya, mahu tampak berani dan lantang. Padahal Yang sebenarnya ternampak jelas adalah sifat orang yang angkuh dan terlalu ujub dengan kehebatan diri.

“Angkuh dan takbur inilah yang membuat kalian jatuh tersungkur. Belajarlah dari sejarah, sahabat. Belajarlah.

“Tidak ada sesuatu yang “kekal” dalam politik. Gah pada sahut dan maki; sindir dan keji – sebenarnya membuka kelemahan diri sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");